Oleh Siti Baaqiah Mamat
KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Sabah sebagai antara destinasi pelancongan paling popular Malaysia, terus menarik dan memukau ribuan pelancong setiap bulan dengan keindahan alam semula jadinya, kepelbagaian budaya serta kehidupan tempatan yang penuh berwarna-warni.
Namun kali ini, ramai pelancong mendapati kunjungan mereka ke Negeri Di Bawah Bayu lebih bermakna, apabila mereka menyaksikan perubahan persekitaran di negeri itu sempena Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Lautan bendera, poster, kain rentang dan papan iklan yang menghiasi jalan utama menambahkan lagi suasana persekitaran yang tidak terjangka, menawarkan pelbagai pengalaman budaya yang cukup berbeza daripada apa yang biasa mereka lihat sebelum ini.
Bagi kebanyakan pengunjung yang datang buat pertama kalinya, termasuk Soma Krishna, 72, dari India, perjalanan ke Sabah pada asalnya bertujuan untuk bercuti semata-mata dan beliau hanya mengetahui mengenai pilihan raya itu, selepas tiba di sini dua hari lepas.
“Ini kunjungan pertama saya ke Sabah dan ia sangat indah, kehijauannya begitu memukau dan alam semula jadinya sangat terpelihara, tetapi apabila kami tiba di sini barulah kami sedar mengenai adanya pilihan raya negeri.
“Tentunya India sebuah negara yang lebih besar dan mempunyai lebih banyak parti, jadi kami dapat melihat lebih banyak poster dan lebih banyak bendera, tetapi di sini anda memaparkannya dengan sangat cantik dan estetik, bukan secara rawak hingga mencacatkan negeri dan sebagainya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pasar Besar Kota Kinabalu.
Alexis Lielievre, 21, seorang pelajar dari Perancis yang melancong bersama keluarganya, menggambarkan suasana itu sebagai “sedikit mengujakan” berbanding pilihan raya di negaranya, yang menurutnya sangat ringkas dan lebih tertumpu kepada kempen serta pengundian.
“Pemandu pelancong kami beritahu tentang pilihan raya. Di Perancis, kami ada poster tetapi tidak banyak bendera di merata tempat, di sini terdapat banyak bendera sepanjang jalan dan bagi kami ia agak luar biasa,” katanya.
Pelancong Australia Julie Woolcott, 70, dalam kunjungan ketiganya ke Sabah berkata beliau menyedari peningkatan jumlah bendera, tetapi tetap berasa gembira untuk berehat dan menikmati percutiannya.
“Saya terfikir tentang pembaziran tetapi ia tidak menjejaskan mood percutian saya. Sabah tetap indah,” katanya sambil menambah bahawa beliau melancong ke Sabah setiap tahun, sebahagiannya kerana rawatan pergigian di sini jauh lebih berpatutan berbanding di Australia.
Seorang lagi pelancong dari India Shailaja Sharma, yang melancong selama empat hari, pada mulanya menyangka hiasan berwarna-warni itu sebagai dekorasi perayaan.
“Saya tidak sedar ia untuk pilihan raya. Di India, kempen sangat ketara dengan perarakan besar-besaran tetapi di sini suasananya sangat tenang,” katanya.
Sementara itu, pelancong tempatan Syamsina Abdul Manab, 38, dari Perak berkata beliau mengetahui mengenai pilihan raya tetapi tetap meneruskan perancangan percutiannya.
“Nampak meriah kali ini, saya datang kebetulan ada PRN, jadi boleh tengok suasana macam mana pilihan raya dekat Sabah ini.
“Di jalan-jalan berkibar dengan bendera yang warna-warni, banyak sangat bendera ada warna merah, putih dan yang tidak pernah saya lihat sebelum ini pun banyak sebab difahamkan di Sabah ini banyak parti, jadi menariklah,” katanya.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya negeri ini, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan mereka, serta 12,729 anggota polis dan pasangan.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari portal khas Bernama, https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial