JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kerajaan Kaji Semula Sasaran TMM2026 Susulan Prestasi Kukuh Ketibaan Pelancong

20/11/2025 06:28 PM

GENTING HIGLANDS, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti semula sasaran kedatangan pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) susulan prestasi kukuh sektor pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kementerian sedang menilai semula sasaran awal sebanyak 35.6 juta pelancong selepas jumlah ketibaan pelancong pada tahun lepas telah melepasi jangkaan dengan 38 juta pelancong.

“Jadi tahun ini, kami mahu melakukan lebih banyak usaha dan berharap dapat mencapai lebih 40 juta (pelancong). Jadi, kami perlukan sokongan semua pihak. Kami sememangnya mahu menyemak semula angka itu tetapi ketika ini kami masih menelitinya,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Resorts World Genting (RWG) dan Tourism Malaysia sempena TMM2026 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia P. Manoharan dan Naib Presiden Eksekutif Jualan Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG Spencer Lee.

Tiong ketika menjawab pertanyaan mengenai isu tol Genting Highlands berkata jalan menuju ke kawasan tanah tinggi itu dimiliki dan disenggara oleh pihak swasta.

“Bagi kemampanan, saya fikir tiada pilihan lain selain melaksanakannya (tol). Ini adalah kerana pada masa ini, saya lihat banyak pembangunan di kiri dan kanan jalan tetapi itu bukan milik Kumpulan Genting,” katanya, sambil menambah pembangunan baharu itu tidak menyumbang kepada penyelenggaraan jalan.

Beliau berkata model pengguna bayar yang dilaksanakan bertujuan memastikan keadilan.

“Kami sudah mengeluarkan kontrak. Kami kata ‘pengguna bayar’, itu lebih berbaloi tetapi saya dimaklumkan oleh pihak Genting dan perkara paling penting ialah kita mesti menjadi hakim yang sangat adil bagi memastikan ia tidak menjadi entiti awam seperti PLUS atau mana-mana tol lain,” katanya.

Tiong berkata jalan itu memerlukan penyelenggaraan rapi disebabkan bentuk muka bumi berbukit dan risiko hakisan, dan pengendali sentiasa pantas serta proaktif menjalankan kerja pembaikan bagi memastikan laluan itu boleh digunakan.

Beliau turut meminta agar kumpulan tertentu seperti pekerja dan penunggang motosikal dikecualikan daripada bayaran tol supaya mereka tidak terbeban, dan menggesa rakan niaga turut memastikan kebajikan kakitangan mereka terpelihara.

“Saya sudah maklumkan kepada mereka (pihak pengurusan) mereka mesti menjaga kebajikan mereka dan tidak patut mengenakan bayaran (kepada pekerja). Mereka juga bersetuju untuk tidak mengenakan bayaran kepada motosikal,” katanya, sambil menambah peningkatan jumlah kenderaan termasuk kenderaan berat menyumbang dengan ketara kepada kenaikan kos penyelenggaraan jalan.

“Saya berharap semua pihak memahami kenapa mereka melaksanakan tol itu,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan