JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

JPNIN Peruntuk RM20 Juta Baiki Tabika Perpaduan, KRT Terjejas Bencana

22/11/2025 06:25 PM

MACHANG, 22 Nov (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memperuntukkan RM20 juta bagi kerja-kerja pembaikan premis Tabika Perpaduan serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang terjejas akibat bencana.

Ketua Pengarah JPNIN Zulkifli Hashim berkata peruntukan itu akan digunakan pada tahun hadapan selepas pihaknya menerima permohonan daripada pegawai perpaduan dan keutamaan diberikan kepada kawasan atau premis yang berdepan dengan situasi bencana seperti banjir serta tanah runtuh.

"Kalau ikut rekod tahun lepas, hampir 116 premis meliputi Tabika Perpaduan dan KRT terjejas akibat bencana seperti banjir serta tanah runtuh dan kita memperuntukkan hampir RM10 juta untuk kerja baik pulih dan pembaikan.

"Bagi menghadapi bencana pada tahun ini, pihak kami sudah bersedia sekiranya berlaku bencana dan bantuan pembaikan segera akan diberikan di kawasan terlibat," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak dan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Dewan Kompleks Perpaduan Jajahan Machang di sini hari ini.

Zulkifli berkata bagi persiapan banjir tahun ini, pihaknya akan mengambil langkah awal dengan mengarahkan pemindahan segera murid dan guru ke tempat selamat, selain mengalihkan dokumen penting seperti komputer serta aset ke tempat yang lebih tinggi.

"Kita juga akan mengarahkan Rukun Tetangga untuk sentiasa memantau paras air sungai dan melakukan rondaan komuniti di kawasan mereka," katanya.

Beliau berkata sebanyak 25 Tabika Perpaduan dikenal pasti berisiko banjir termasuk tujuh di Pasir Mas, empat di Kota Bharu, manakala masing-masing tiga di Tanah Merah dan Gua Musang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan