JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

TVET Bukan Lagi Pilihan Kedua, Penyertaan Cecah 65 Peratus Tahun Depan - Ahmad Zahid

22/11/2025 07:16 PM

KINABATANGAN, 22 Nov (Bernama) -- Penyertaan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dijangka meningkat daripada 57.4 peratus tahun ini kepada 65 peratus pada akhir tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata program TVET bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua atau khusus bagi mereka yang gagal dalam bidang pelajaran, sebaliknya menjadi pilihan utama anak-anak muda di negara ini.

Beliau berkata TVET kini menjanjikan gaji premium dan memberikan contoh pemegang Sijil Kemahiran Malaysia tahap satu hingga tiga boleh menikmati gaji permulaan sebanyak RM2,500.

“Dari segi kebolehpasaran, daripada 100 orang yang masuk institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), sebanyak 98.7 peratus memperoleh pekerjaan sebelum tamat kursus,” katanya semasa berucap pada Program Jelajah TVET di Dataran Kinabatangan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata meskipun kebolehpasaran TVET seluruh negara adalah 95.1 peratus dan MARA 98.7 peratus, kebolehpasaran TVET di bawah Kementerian Kerja Raya khususnya Institut Binaan Malaysia (IBM) adalah 100 peratus.

Beliau berkata pada masa ini terdapat enam universiti yang menawarkan kursus TVET iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Malaysia Perlis.

“Sebenarnya mereka yang masuk ke universiti menawarkan kursus TVET ini tidak salah pilihan malah, ibu bapa mula mempercayai TVET untuk memasukkan anak-anak mereka,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata negara kini mempunyai 1,398 institusi TVET yang menawarkan lebih 4,500 kursus termasuk kursus berkemahiran tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT), robotik dan kenderaan elektrik (EV).

Selain itu, Ahmad Zahid berkata beberapa langkah turut diambil untuk menawarkan kursus TVET kepada pelajar maahad tahfiz sebagai contoh di UniKL dengan 750 pelajar daripada latar belakang sekolah pondok sedang mengikuti program di Fakulti Aeroangkasa dan Fakulti Kejuruteraan Marin.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan