KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang memperkukuh kesiapsiagaan menjelang pelaksanaan operasi Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) bagi laluan KL Sentral-Johor Bahru Sentral yang dijangka bermula 12 Dis ini.
KTMB memaklumkan pihaknya telah membuat persediaan rapi dari segi operasi termasuk konfigurasi jadual perjalanan, sistem tiket dan penyediaan petugas, namun ketika ini masih menunggu kelulusan akhir daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta agensi berkaitan.
“Setakat ini, empat daripada 10 set tren ETS3 telah lulus Pemeriksaan Cermat Akhir (PCA), mendapat pensijilan dan sedia untuk beroperasi,” menurut KTMB dalam kenyataan.
Menurut KTMB, perkhidmatan permulaan dirancang melibatkan empat perjalanan sehari bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral dan jumlah itu akan ditambah selari dengan penerimaan set tren yang lulus PCA.
Bagi perjalanan dari JB Sentral ke utara, pengoperasian akan diperkenalkan secara berfasa, selaras dengan kesiapsiagaan infrastruktur, keperluan penjadualan dan ketersediaan aset operasi.
“KTMB komited memastikan setiap langkah pengoperasian ETS3 menepati standard keselamatan tertinggi selain menawarkan pengalaman perjalanan lebih selesa, moden dan efisien kepada pengguna.
“Maklumat rasmi berkaitan jadual perjalanan dan pembelian tiket akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi rasmi KTMB atau Pusat Panggilan KTMB menerusi talian 03-9779 1200,” menurut kenyataan itu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini memaklumkan perkhidmatan ETS3 bagi laluan KL Sentral-Johor Bahru dijangka mula beroperasi pada 12 Dis.
Loke berkata fokus awal operasi ETS3 adalah laluan Johor Bahru-Kuala Lumpur bagi memastikan kekerapan tren lebih tinggi berbanding laluan yang lebih panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial