JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Tiga Tahun Kerajaan MADANI: Kestabilan Pacu Negara Lebih Gemilang

23/11/2025 10:38 AM

Oleh Sakini Mohd Said dan Nurin Nadhrah Amran

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memasuki tahun ketiga berjaya menempa banyak kejayaan dalam membangunkan negara.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pencapaian hasil kerja keras Anwar yang juga Menteri Kewangan, Jemaah Menteri serta didukung dedikasi penuh penjawat awam dan rakyat, berjaya memacu Malaysia hari ini ke arah yang lebih gemilang.

Di peringkat domestik, keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat khususnya membabitkan kos sara hidup, membanteras rasuah dan ketirisan, serta menyusun semula asas ekonomi bagi memastikan negara berada pada landasan terbaik untuk mengharungi cabaran ekonomi global dan geopolitik.

Untuk itu, pelbagai agenda disusun yang berjaya memberi impak positif kepada kehidupan rakyat antaranya Sumbangan Asas Rahmah (SARA), iaitu program bantuan tunai bersasar kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan kini diperluas kepada 5.4 juta penerima, termasuk 700,000 penerima eKasih dan 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Melalui Belanjawan 2025, peruntukan bagi STR dan SARA ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini, dengan bantuan tahunan SARA dinaikkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 tahun lepas.

Selain itu, program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), dengan semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli petrol RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan. 

Turut diberi perhatian oleh Kerajaan MADANI ialah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 untuk setiap murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4, melibatkan peruntukan RM791.25 juta dan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi penjawat awam serta penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 untuk swasta, melalui dua kali semakan, daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kemudiannya RM1,700.

Kerajaan MADANI juga jelas membela nasib pesawah termasuk menaikkan Harga Lantai Belian Padi kepada RM1,500 pada 2025, selepas kenaikan pada 2022 dan 2023, selain Kadar Skim Subsidi Harga Padi juga ditingkatkan kepada RM500 pada 2023.

Kerajaan juga berterusan mengadakan Program MADANI Rakyat (PMR) mengikut zon bagi memaparkan pencapaian, kemajuan dasar serta keberhasilan inisiatif 2025 secara telus kepada rakyat di samping menyediakan pelbagai perkhidmatan langsung oleh kementerian dan agensi bagi memudahkan akses kepada rakyat.

Mengulas pencapaian keseluruhan Kerajaan MADANI, Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata kejayaan memberangsangkan yang dikecapi adalah hasil daripada kestabilan politik yang berjaya diwujudkan, selain dasar-dasar yang jelas serta komitmen ditunjukkan perkhidmatan awam dan sektor swasta.

Beliau berkata kestabilan politik yang dinikmati hari ini tidak terhasil sekelip mata sebaliknya terdorong daripada usaha bersepadu Anwar bersama anggota Kabinet untuk memulihkan keadaan negara selepas tempoh ketidaktentuan politik yang sebelumnya menyaksikan tiga perdana menteri bertukar dalam jangka masa singkat.

“Kerajaan MADANI yang terbentuk daripada hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (ketika itu), menjadi pemutus kepada kemelut drama politik, kebimbangan rakyat, pelabur serta pentadbiran yang tidak lancar. 

“Dengan kestabilan politik yang dirasai di bawah Kerajaan MADANI, ia memudahkan Perdana Menteri bersama Kabinet beliau untuk memberi tumpuan kepada isu ekonomi, sosial dan kedudukan negara di peringkat antarabangsa serta perjuangan memerangi rasuah. 

“Saya berpandangan pencapaian terbesar Kerajaan MADANI dalam tempoh tiga tahun adalah membawa kestabilan politik, yang merupakan suatu yang gagal dicapai tiga kerajaan sebelum ini semasa kita berhadapan kemelut pelbagai drama politik sehingga menggugat perjalanan pentadbiran negara pada 2018,” katanya.

Nada serupa disuarakan penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi yang melihat kestabilan dicipta Kerajaan MADANI telah menyaksikan peningkatan bantuan dan peruntukan bagi kemudahan infrastruktur yang dikembalikan serta disalurkan untuk manfaat keseluruhan rakyat.

“Semua ini dapat dilakukan hasil daripada penjimatan menerusi langkah berani serta tidak popular Kerajaan MADANI, iaitu penyasaran subsidi diesel dan RON95 yang membawa kembali ‘sumber yang hilang’ sebelum ini kepada rakyat serta pembangunan negara,” katanya.

Kerajaan MADANI tidak hanya menjuarai isu rakyat bahkan turut lantang memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang ditindas rejim Zionis di pentas antarabangsa selain menjadikan Kepengerusian ASEAN sebagai platform terbaik Malaysia menyuarakan terus pelbagai isu termasuk Palestin kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Malaysia menutup tirai Kepengerusian ASEAN 2025 dengan melakar beberapa pencapaian penting, antaranya pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand serta penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN.

Selain itu, suara Malaysia dalam mengangkat penderitaan rakyat Gaza turut dizahirkan melalui penyertaan negara dalam Global Sumud Flotilla (GSF), sebuah konvoi kemanusiaan antarabangsa merentas lautan yang menghimpunkan lebih 40 kapal kecil dan 500 aktivis dari 44 negara bagi menghantar bantuan ke Gaza.

Kejayaan membawa pulang semua 23 aktivis Malaysia yang ditahan rejim Israel ketika menyertai misi GSF juga memperlihatkan kecekapan diplomasi lintas sempadan kerajaan di bawah pimpinan Anwar.

Di tengah-tengah landskap geopolitik Timur Tengah yang kompleks, pendekatan rundingan tertutup melalui negara ketiga seperti Jordan, Qatar dan Turkiye menyerlahkan kematangan diplomasi berprinsip Malaysia yang mampu mengimbangi tuntutan kemanusiaan sejagat dengan kepentingan keselamatan negara.

Pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan berpandangan penampilan dan suara Perdana Menteri dalam isu-isu antarabangsa termasuk Gaza, kemanusiaan serta peranan Malaysia dalam ASEAN telah berjaya mengangkat profil negara sebagai pemain serantau yang lebih dihormati.

“Malaysia tidak tenggelam dalam isu global. Suara kita jelas, lantang dan konsisten. Ini memberi kesan kepada persepsi antarabangsa tentang kestabilan serta prinsip yang kita bawa.

“Hujah Perdana Menteri juga boleh diterima (dalam menyuarakan sesuatu pandangan) kerana berasaskan perundangan dan hak asasi manusia,” katanya dan menambah terdapat pelbagai lagi kejayaan yang telah ditempa Malaysia di bawah pimpinan Anwar.

Selain itu, kepimpinan Anwar turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dinamakan sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 daripada kedudukan ke-15 tahun lepas (2025) dalam edisi 2026 buku The World’s 500 Most Influential Muslims, yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC), Jordan.

Perdana Menteri turut menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global (GIFA) 2025, yang merupakan pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau serta kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama sektor kewangan Islam di peringkat global.

Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov 2022. Pada 19 Jan 2023, Anwar memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia. MADANI itu diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan