JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Banjir: 535 Pelajar UMK Kampus Kota Ikuti Pembelajaran Secara Dalam Talian

23/11/2025 05:18 PM

KOTA BHARU, 23 Nov (Bernama) -- Sebanyak 535 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bermula hari ini, susulan banjir yang melanda negeri itu.

Naib Canselor UMK Datuk Prof Dr Arham Abdullah berkata keputusan itu diambil selepas kawasan kampus dan kolej kediaman terjejas akibat hujan lebat berterusan sejak Khamis, sekali gus menyukarkan pergerakan pelajar. 

Beliau menekankan bahawa langkah pembelajaran secara dalam talian, membolehkan sesi pengajaran diteruskan sementara kuliah fizikal hanya akan dijalankan apabila keadaan kembali pulih.

“Setakat ini, sebanyak 527 pelajar masih menetap di kolej kediaman Kampus Kota dan telah ditempatkan di tingkat atas bagi mengelak risiko banjir. Manakala lapan pelajar yang tinggal di rumah sewa sekitar Pengkalan Chepa dipindahkan sementara ke Fakulti Veterinar, Padang Tembak. 

“Semua pelajar yang terjejas akan mengikuti pengajian secara dalam talian dan memo rasmi telah dikeluarkan kepada fakulti terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di UMK Kampus Kota hari ini.

Arham berkata universiti telah mengaktifkan bilik gerakan banjir dan talian 24 jam di seluruh kampus sejak Jumaat, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan warga UMK terjaga.

Beliau berkata bilik gerakan itu berperanan menyalurkan maklumat terkini dan bantuan kepada pelajar serta staf yang berada di dalam kampus dan kawasan sekitar.

“UMK juga melaksanakan pemantauan di kolej kediaman pelajar secara berkala bagi memastikan semua langkah keselamatan diambil sepanjang tempoh banjir.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kebajikan pelajar, termasuk keperluan asas, makanan, sokongan logistik dan lain-lain, terus diselia oleh pihak universiti,” katanya.

Beliau berkata setakat ini Kampus Jeli dan Kampus Bachok, tidak terjejas akibat banjir.

Semalam, UMK kampus Kota dan bangunan di persekitarannya terjejas dan ditenggelami banjir ekoran hujan lebat berterusan tahap waspada.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan