Oleh Linda Khoo
SEOUL, 23 Nov (Bernama) -- Kepelbagaian cita rasa dan produk makanan serta minuman (F&B) yang menjadi identiti Asia Tenggara diperkenalkan kepada masyarakat Korea pada Pameran Perdagangan ASEAN 2025 di Ilsan, Goyang apabila perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari seluruh rantau itu mempamerkan cita rasa autentik ASEAN kepada para pengunjung.
Daripada snek tradisional, sos dan minuman hingga rempah-ratus serta produk sedia dimasak, sebanyak 70 syarikat F&B dari negara anggota ASEAN menyertai pameran itu dalam usaha memperkukuh kedudukan mereka dalam kalangan pengguna Korea di rumah, kafe dan pasar raya.
Diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Korea (KINTEX), kira-kira 25 kilometer dari Seoul, dari 13 hingga 16 Nov, pameran perdagangan tahunan itu merupakan program utama Pusat ASEAN-Korea (AKC) yang telah menganjurkannya sejak 2014.
Ia kini berkembang menjadi platform penting yang mengukuhkan hubungan ekonomi dan memupuk persefahaman bersama antara ASEAN dan Korea, sekali gus menawarkan syarikat saluran berharga bagi meningkatkan pendedahan pasaran, penglibatan pengguna dan penjenamaan.
Tahun ini, semua negara anggota ASEAN kecuali Timor Leste mengambil bahagian, kerana anggota terbaharu blok itu belum menganggotai AKC. Proses penyertaan kini sedang dijalankan.
Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata pameran itu menyediakan platform penting di Korea bagi mempamerkan makanan, budaya dan produk berjenama Malaysia bersama-sama tawaran negara ASEAN yang lain.
“Melalui platform ini, pempamer Malaysia dapat memperkenalkan bukan sahaja makanan yang diproses dan barangan pengguna, tetapi juga penceritaan budaya, penjenamaan dan pengalaman merasa sampel yang membantu pembeli dan pengguna Korea mengenali Malaysia sebagai destinasi penyumberan utama.
“Pemasaran bersama yang menampilkan masakan, gaya hidup dan warisan membantu mengangkat produk Malaysia daripada sekadar komoditi kepada jenama yang tersendiri,” katanya kepada media Malaysia.
Beliau menambah bahawa pameran itu memudahkan mesyuarat perniagaan ke perniagaan (B2B) yang berstruktur, sekali gus membolehkan PMKS Malaysia berhubung secara langsung dengan pengimport, pengedar dan rakan kongsi runcit Korea, menukar pendedahan budaya kepada peluang komersial.
Zamruni berkata pameran perdagangan itu turut membuka ruang kepada jenama halal Malaysia dengan memberikan mereka akses langsung kepada pengimport, peruncit dan pengendali perkhidmatan makanan Korea yang mencari produk premium, mudah dan diperakui halal.
Aktiviti pensampelan produk, padanan perniagaan dan pertemuan individu membantu pempamer Malaysia meningkatkan keterlihatan jenama, membina kepercayaan dan mewujudkan hubungan komersial jangka panjang dalam antara pasaran F&B paling dinamik di Asia, katanya.
“Selain jaringan perniagaan, pameran ini membolehkan kerjasama perintis seperti pembangunan label persendirian, perkongsian pengilangan bersama dan perjanjian pengedaran.
“Sama pentingnya ialah elemen pertukaran budaya - berkongsi warisan makanan Malaysia, rasa autentik dan piawaian halal membantu meletakkan semula produk Malaysia daripada sekadar komoditi kepada tawaran gaya hidup premium yang menarik kepada cita rasa pengguna Korea yang sentiasa berubah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung AKC Kim Jae-shin berkata Pameran Perdagangan ASEAN berperanan sebagai jambatan penting yang menghubungkan syarikat F&B ASEAN dengan pengguna dan pembeli Korea.
Beliau berkata acara itu menyediakan platform bernilai untuk memahami aliran pasaran, mengumpul pandangan pengguna dan meletakkan asas bagi perkongsian perniagaan jangka panjang.
“Walaupun terdapat ketidakpastian ekonomi global, pameran ini kekal sebagai platform yang tepat pada masanya dan menggalakkan bagi negara anggota ASEAN meneroka peluang perniagaan baharu dalam pasaran Korea.
“Saya benar-benar berharap acara ini akan menjadi batu loncatan kepada kerjasama baharu antara ASEAN dan Korea, serta memberi inspirasi kepada pengguna Korea untuk mengenali kepelbagaian dan cita rasa masakan ASEAN yang kaya,” katanya.
Kim menegaskan bahawa sektor F&B kekal sebagai antara bidang paling dinamik untuk pertumbuhan masa depan.
“Pasaran F&B ASEAN bernilai lebih US$670 bilion pada 2024 dan dijangka mencecah sekitar US$900 bilion menjelang 2028, mewakili kadar pertumbuhan tahunan yang mengagumkan sekitar tujuh peratus,” katanya.
Pameran perdagangan itu merupakan sebahagian daripada Minggu ASEAN 2025, iaitu siri program anjuran AKC bagi memperluas kerjasama praktikal dalam bidang budaya, ekonomi dan media. Inisiatif itu juga bertujuan mengukuhkan hubungan antara rakyat ASEAN dan Korea.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial