JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Banjir Hat Yai: Empat Keluarga Rakyat Malaysia Nekad Redah Air Paras Pinggang Selamatkan Diri

23/11/2025 07:55 PM

PADANG BESAR, 23 Nov (Bernama) -- Empat keluarga membabitkan 15 rakyat Malaysia nekad meredah banjir paras pinggang sejauh hampir tiga kilometer untuk keluar dari kawasan penginapan mereka di sebuah hotel di Hat Yai awal pagi tadi, selepas terkandas sejak Jumaat lepas berikutan situasi banjir yang semakin membimbangkan.

Mereka terdiri daripada 10 remaja dan dewasa berusia 15 hingga 79 tahun, empat kanak-kanak tiga hingga 12 tahun serta seorang bayi berusia lapan bulan.

Muhammad Imran Hazim, 19, berkata dia bersama saudara-mara lain dari Pulau Pinang membuat keputusan keluar dari hotel terbabit yang berada kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar Hat Yai pada 6.30 pagi waktu Thailand (7.30 pagi waktu Malaysia) setelah menilai situasi banjir dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pakaian serta barangan berharga dimasukkan ke dalam plastik hitam bagi memudahkan pergerakan yang melibatkan bayi, meredah banjir menuju ke kawasan lebih selamat sebelum mendapatkan perkhidmatan pengangkutan ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar.

"Faktor kami nekad mengambil risiko untuk redah banjir ini demi keselamatan anak kecil termasuk bayi lapan bulan dan budak sekolah serta warga emas. Bekalan elektrik, air dan Internet pun terputus sepenuhnya, kami betul-betul terputus hubungan.

"Selain itu, kedai semua tutup, makanan pun memang tak ada. Kami keluar awal sebab air semakin naik. Dari situ kami cari van untuk terus ke sempadan Padang Besar ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Stesen KTMB Padang Besar di sini hari ini.

Muhammad Imran berkata mereka terpaksa membayar kira-kira RM2,000 untuk mendapatkan pengangkutan ke sempadan Padang Besar berikutan banyak laluan ditutup dan kenderaan tidak dapat memasuki kawasan yang ditenggelami air, sebelum berjaya tiba di stesen kereta api pada 11.30 pagi bagi menaiki tren ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Mengenai percutian di Hat Yai, dia berkata mereka pergi ke selatan Thailand itu pada Jumaat lepas melalui pintu sempadan Padang Besar dengan menaiki van pelancong dan tiba di hotel berkenaan sekitar 1 tengah hari pada hari sama untuk sambutan hari keluarga.

"Sewaktu kami tiba di hotel tersebut sudah hujan yang kemudian semakin lebat menjelang petang dan berlarutan hingga malam pada Jumaat itu sebelum bekalan elektrik, air dan Internet terputus sepenuhnya," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Imran berkata mereka bersyukur dapat pulang dengan selamat dan menganggap pengalaman itu sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati merancang perjalanan terutama ketika musim hujan dan risiko banjir di kawasan selatan Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan