JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PM Anwar Dimaklum Perkembangan Terkini Banjir Sejurus Tiba Dari Afrika - KSN

25/11/2025 11:52 AM

PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini situasi banjir monsun timur laut (MTL) yang menjejaskan beberapa negeri sejurus tiba di tanah air selepas lapan hari mengadakan lawatan rasmi ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata beliau sempat memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri selain hal-hal berkaitan perkhidmatan awam.

"Alhamdulillah, YAB Perdana Menteri telah selamat tiba di tanah air setelah lapan hari bermusafir membawa agenda besar negara ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.

"Dalam kesempatan yang singkat, saya sempat memaklumkan perkembangan terkini berhubung situasi semasa musibah banjir MTL yang sedang melanda beberapa negeri dan hal-hal berkaitan perkhidmatan awam," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Anwar memulakan lawatan itu pada 18 Nov lepas ke Ethiopia, yang pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia, sebagai membalas kunjungan rasmi rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali, pada Oktober 2024.

Dari Addis Ababa, Perdana Menteri berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dari 20 hingga 23 Nov sebelum mengadakan lawatan kerja ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 Nov lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan