EKONOMI > BERITA

MALAYSIA RAIH US$759 JUTA DARIPADA PELABURAN AI, DORONG PERTUMBUHAN LEBIH 60 SYARIKAT PEMULA

25/11/2025 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kemunculan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) menjadi pemangkin baharu bagi Malaysia, dengan menarik pembiayaan berjumlah US$759 juta dan menyokong lebih 60 syarikat pemula AI tempatan dari separuh kedua 2024 (2H 2024) hingga separuh pertama 2025.

Menurut Laporan e-Conomy SEA 2025 edisi ke-10 oleh Google, Temasek dan Bain & Company itu, jumlah tersebut adalah kedua tertinggi di rantau Asia Tenggara, selepas Singapura yang menerima US$1.3 bilion dan menjadi lokasi kepada lebih 495 syarikat pemula AI.

“Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh bukan sahaja pada masa ini tetapi juga untuk masa depan. (Negara ini mempunyai) pelaburan infrastruktur yang mantap dan ekosistem syarikat pemula AI yang berjaya menarik tahap pembiayaan yang tinggi,” kata Pengarah Urusan Google Malaysia dan Singapura Ben King dalam satu pembentangan di sini hari ini.

King berkata Malaysia turut menerajui lonjakan pelaburan infrastruktur AI di Asia Tenggara, susulan kedudukan rantau ini sebagai tumpuan global dalam pembangunan sedemikian, dengan unjuran peningkatan kapasiti tambahan sekitar 350 peratus.

Beliau berkata peningkatan aliran modal itu membawa prospek positif kepada ekonomi secara keseluruhan dan ekonomi digital Malaysia, selain menunjukkan trend sebahagian aliran tersebut beralih dari Singapura berikutan kekangan kapasiti negara itu.

“Malaysia berada pada kedudukan yang baik, disokong dasar kerajaan yang pro-teknologi dan pro-inovasi.

“Google melihat potensi besar negara ini. Tahun lalu kami membuat komitmen signifikan di Malaysia dan kami berharap pelaburan ini akan memacu fasa seterusnya perkhidmatan awan berasaskan AI di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai peluang pekerjaan dalam pasaran berteraskan AI serta kebimbangan terhadap penggantian tenaga kerja oleh teknologi itu, King berkata pekerja tidak akan kehilangan pekerjaan kepada AI, sebaliknya kepada individu lain yang lebih mahir menggunakan AI.

Sehubungan itu, beliau berkata agenda penting ketika ini adalah usaha meningkatkan kemahiran dan memastikan rakyat mempunyai alat yang sesuai untuk menguasai AI.

“Di Asia Tenggara, kami komited melatih 5.5 juta lagi individu dalam set kemahiran khusus AI. Ia merupakan pelaburan besar bagi kami dan akan terus dipertingkatkan.

“Pekerjaan baharu akan diwujudkan, (maka persoalannya ialah) bagaimana kita membekalkan alat yang betul kepada rakyat untuk merebut peluang itu? Bagaimana mereka memperkukuh kemahiran dalam pekerjaan semasa untuk menjamin kelangsungan kerjaya?” kata beliau.

Sementara itu, rakan kongsi Bain & Company Kuala Lumpur Amanda Chin berkata pekerjaan dalam sektor kreatif yang memerlukan elemen manusia dan pemikiran berasaskan kreativiti sendiri masih relevan pada era AI.

Beliau berkata melatih tenaga kerja hari ini, industri juga perlu memberi tumpuan kepada tenaga kerja masa depan dari segi pendidikan serta jenis kemahiran yang diperlukan untuk berkembang dalam era ini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan