JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kerajaan Komited Pacu Pertanian Moden Di Tawau, Kalabakan - TPM Ahmad Zahid

25/11/2025 04:10 PM

TAWAU, 25 Nov (Bernama) – Kerajaan komited memacu Tawau dan Kalabakan sebagai hab pertanian moden serta pusat latihan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Aras Tinggi (Hi-TVET), sejajar dengan potensi besar kawasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa inisiatif ini bukan bersifat bermusim atau berkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, sebaliknya merupakan perancangan awal Kerajaan Persekutuan untuk memodenkan sektor pertanian serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Sabah.

“Tawau dan Kalabakan mempunyai potensi luar biasa kerana tanahnya subur. Kita perlu membangunkannya bukan sahaja melalui pertanian tradisional, tetapi juga pertanian moden,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih Desa@Tanjung Batu dan Khatam Perdana Pra-Tahfiz Tabika Kemas Peringkat Negeri Sabah di Dewan Tertutup, Kompleks Sukan Tawau, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Datuk Mohd Hanafiah Man.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata pertanian moden memerlukan tenaga mahir yang dilatih secara sistematik, dan TVET akan menjadi teras transformasi ekonomi di kawasan itu.

Katanya, TVET teknologi agro bernilai tinggi akan menjadikan Tawau sebagai pusat Hi-TVET baharu di Sabah.

“Walaupun negeri ini mempunyai 24 GiatMARA dan sebuah Institut Kemahiran MARA (IKM) di Kota Kinabalu, Tawau memerlukan pusat Hi-TVET bagi memastikan belia tempatan mempunyai kebolehpasaran lebih baik,” katanya.

Beliau berkata sebuah politeknik baharu juga akan dibangunkan di Tawau sebagai pelengkap ekosistem latihan kemahiran, dan semua komitmen ini adalah perancangan jangka panjang kerajaan, bukan agenda sementara.

“Kita menekankan perkara ini bukan kerana pilihan raya, tetapi kerana ia sudah dirancang sejak awal dan pelaksanaannya mesti segera di kawasan ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian bagi 1.760 juta pemilih berdaftar, manakala pengundian awal berlangsung hari ini.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan