JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sagu Lumadan: Permintaan Tinggi, Bekalan Kritikal

25/11/2025 04:41 PM

Oleh Lucia Terey Anak John

BEAUFORT, 25 Nov (Bernama) -- Di sebalik deretan ladang kelapa sawit yang meluas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, sebuah kilang sagu tradisional terus beroperasi walaupun arus perubahan semakin menenggelamkan industri tradisi itu.

Kilang Sagu Sedap Enterprise milik keluarga Rumayah Udal @ Opal, yang telah bertapak selama dua dekad di Kampung Indomadi di sini, kini menjadi antara yang terakhir masih setia mengusahakan industri sagu di kawasan tersebut.

Meskipun permintaan terhadap produk sagu semakin meningkat, pengusaha seperti Rumayah berdepan cabaran getir ekoran kekurangan pokok rumbia dan perubahan lanskap pertanian penduduk tempatan.

“Sebelum ini, Lumadan ada antara 50 hingga 100 hektar tanaman rumbia, sekarang tinggal 20 hingga 12 hektar sahaja, ramai yang bertukar kepada (penanaman) kelapa sawit sebab pulangan lebih cepat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Rumayah berkata dia memulakan perniagaan sagu dengan modal kecil dan semuanya dilakukan secara manual bermula daripada menebang pokok rumbia, memarut batang sehinggalah mengeringkan sagu dan hasil sehari ketika itu kira-kira 300 kilogram (kg).

Namun segalanya berubah kira-kira 10 tahun lepas apabila beliau berjaya mendapat bantuan RM3,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang kemudian bertambah pada tahun-tahun seterusnya sehingga membolehkannya membeli mesin asas pemprosesan.

Sejak itu, pengeluaran meningkat 20 hingga 30 karung guni sehari, menjadikan kilangnya satu-satunya yang masih beroperasi di Kampung Indomadi meskipun terdapat kira-kira 10 pengusaha sagu persendirian lain di sekitar Lumadan.

Bak kata-kata pepatah ‘langit tidak selalunya cerah’, Rumayah berkata walaupun mesin telah ada, perusahaannya berdepan pula dengan cabaran kekurangan sumber bahan mentah sehingga memaksanya mendapatkan bekalan dari Klias dan Kuala Penyu sekali gus meningkatkan kos operasi kilang.

“Setiap batang rumbia tidak murah, kami beli dengan harga RM100 hingga RM150 termasuk kos lori. Kos yang semakin meningkat menjadi tekanan besar, tetapi terpaksa ditanggung kerana permintaan terhadap sagu terus melonjak.

“Bayangkan sekitar tahun 1980an, harga sekarung guni sagu hanya RM10 sahaja, sekarang mencecah sudah RM120,” katanya yang memasarkan produk sagunya seperti keropok sagu dan kubal ke Brunei, Semenanjung, Sandakan dan Tawau.

Kemerosotan kawasan tanaman rumbia itu turut mendapat perhatian penyandang kerusi DUN Lumadan Datuk Ruslan Muharam yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ruslan berazam memberikan keutamaan terhadap sagu sebagai komponen utama peningkatan ekonomi rakyat.

Beliau percaya usaha itu dapat menghidupkan semula rantaian industri sagu, membuka ruang kepada wanita luar bandar untuk terlibat dalam penghasilan produk hiliran dan menjadikan Lumadan sebagai destinasi pelancongan berasaskan sagu.

“Tanpa usaha penanaman semula, industri ini berisiko lumpuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang, walaupun daerah ini (Beaufort) merupakan satu-satunya pengeluar sagu di Sabah,” katanya.

Sebagai langkah awal, jika diberikan mandat kali ini, beliau merancang menggunakan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membiayai projek rintis penanaman pokok rumbia di kampung terpilih.

“Pada masa sama, saya akan bawa cadangan ke peringkat kerajaan negeri untuk menjadikan Lumadan sebagai pusat penanaman semula rumbia Sabah kerana tanpa campur tangan kerajaan, pengusaha kecil tidak mampu melaksanakan tanaman ini secara komersial,” katanya.

DUN Lumadan terletak kira-kira 110 kilometer dari Kota Kinabalu dan merupakan kawasan dalam Parlimen Sipitang.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

 

N34: LUMADAN: SABAH: 22,165

1. Mohammad Norizhuan Awang             (Warisan)

2. Abdul Jarih Okin                                   (KDM)

3. Amit Basrin                                           (STAR)

4. Datuk Ruslan Muharam                       (GRS-PBS)

5. Datuk Mohd Nazri Abdullah                 (BN-UMNO)

6. Jurinah Nasir                                        (PIS)

(2020: Ruslan Muharam: PBS: Maj: 364)

--  BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan