JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Prinsip Integriti, Amalan Tatakelola Baik 'Tiang Seri' Pentadbiran Kerajaan MADANI - Ahli Akademik

25/11/2025 07:52 PM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 25 (Bernama) -- Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan fokus utama kepada nilai integriti dan amalan tatakelola yang baik sebagai ‘tiang seri’ atau tunjang pentadbirannya.

Fokus itu yang telah ditekankan beliau sejak menerajui kepimpinan negara tiga tahun lepas, bukan sahaja bertujuan “membersihkan” pentadbiran kerajaan Persekutuan daripada gejala negatif tetapi juga sebagai pemangkin kritikal kepada pembangunan sosioekonomi di peringkat negeri terutamanya Sabah.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata ketegasan Perdana Menteri menekankan tatakelola baik dalam pentadbirannya dapat dilihat secara jelas menerusi penubuhan Kerangka Malaysia MADANI.

Kerangka itu katanya, antara lain meletakkan tadbir urus berkesan dan ketelusan serta sifar toleransi terhadap rasuah sebagai prinsip utama, selain ketegasan terhadap keperluan untuk mengukuhkan aspek integriti di semua peringkat secara menyeluruh dan tanpa kompromi.

“Ini termasuk melalui reformasi perolehan awam dan proses tender yang lebih telus menunjukkan komitmen politik tinggi untuk membersihkan pentadbiran negara daripada sebarang bentuk ketirisan dan penyalahgunaan kuasa,” katanya kepada Bernama.

Syahruddin yang juga Penyelidik Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPes) UMS berkata antara amalan tatakelola berkesan yang menjadi keutamaan kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan integriti ialah ketelusan menyeluruh dalam proses perolehan dan tender kerajaan khususnya menerusi sistem e-Perolehan.

Beliau berkata kerajaan MADANI turut memberikan komitmen memperkukuh kawalan dalaman di agensi serta kementerian dengan penguatkuasaan sekali gus memperketat Prosedur Kewangan dan Tatacara Pengurusan Aset Awam.

“Pengisytiharan harta oleh ahli pentadbiran serta penggubalan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal juga menunjukkan kesungguhan memastikan akauntabiliti fiskal serta mengurangkan ruang ketirisan dan salah guna kuasa demi menjamin penggunaan dana awam yang berhemah,” jelasnya.

Menurut Syahruddin, amalan tatakelola baik memberikan impak positif terhadap pembangunan negara termasuk di Sabah, kerana ketelusan serta integriti berupaya meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan langsung ke negeri itu yang kaya dengan sumber aslinya.

“Hal ini memastikan peruntukan pembangunan terutamanya menerusi Perjanjian Malaysia 1963 dapat disalurkan serta dibelanjakan secara adil, cekap dan efektif seterusnya mengurangkan kebocoran serta penyalahgunaan dana yang sering menghalang kemajuan projek infrastruktur. 

“Kesannya, pembangunan sosioekonomi Sabah dapat dipercepat dan taraf hidup rakyat dapat dipertingkatkan,” katanya sambil menambah amalan tatakelola baik juga mampu mewujudkan standard tingkah laku profesional yang tinggi dalam perkhidmatan awam dan pentas politik.

Syahruddin berkata beliau yakin Perdana Menteri akan secara konsisten menggunakan platform awam dan mesyuarat Kabinet untuk menekankan integriti sebagai prasyarat bagi sebarang jawatan dan projek kerajaan termasuk menyemak semula projek-projek mega diluluskan tanpa tender sewajarnya. 

“Ia melibatkan langkah drastik seperti memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan memastikan tiada campur tangan politik dalam siasatan,” katanya dan menjelaskan penekanan terhadap disiplin fiskal menunjukkan kesediaan untuk mengambil tindakan tidak popular demi kepentingan jangka panjang negara.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sabah Dr Arvin Tajari berkata kesungguhan Anwar untuk memastikan kepentingan tatakelola baik sudah kedengaran sejak beliau menyampaikan ucapan pertama sebagai perdana menteri.

Arvin berpendapat komitmen itu berkemungkinan disebabkan oleh pelbagai cabaran diwarisi kerajaan MADANI yang memerlukan Anwar untuk mengambil langkah signifikan dalam memperkukuh amalan tatakelola pentadbiran negara sekali gus menjadikan ia sebagai agenda nasional.

“Kepentingan terhadap tatakelalola yang baik seperti menjadi zikir beliau dengan mengingatkan penjawat awam untuk menekankan aspek ini dalam khidmat kepada masyarkat,” katanya.

Katanya isu tatakelola yang sangat dekat dengan Perdana Menteri ialah agenda membanteras rasuah. 

“Masalah rasuah di Malaysia, jika tidak dibendung dan dikenakan tindakan tegas, akan membawa negara ke lembah kehancuran. Negara yang membudayakan rasuah di mana pemimpin tidak mampu membendung dan melawan amalan tersebut, akan memberi kesan buruk kepada negara dan rakyat,” katanya.

Menurut Arvin, kelantangan Perdana Menteri mengenai kepentingan menitikberatkan tatakelola baik turut diterjemahkan melalui tindakan serta ucapan beliau dengan disertai nada tegas sebagai amaran kepada mana-mana pemimpin yang gagal mengamalkan nilai itu dalam pentadbiran mereka.

“Hal ini juga penting dan amat baik diterjemahkan ke Sabah terutama dalam aspek pembangunan negeri melibatkan pembinaan infrastruktur yang sering menghantui kerajaan negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan