KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti semula proses penilaian permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) susulan kebimbangan berhubung kompetensi pegawai penilai terutama bagi kes melibatkan pemohon di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata situasi itu menimbulkan persoalan sama ada penilaian yang dibuat pegawai berkenaan benar-benar mengambil kira keadaan pemohon, terutama golongan yang tidak mempunyai akses kepada rawatan perubatan formal.
“...ini sesuatu yang serius yang saya harap dapat dilihat semula oleh JKM dalam membuat penilaian, setiap permohonan yang dikemukakan itu perlu diteliti dan tidak ada birokrasi.
“Sekiranya layak haruslah diberikan kelulusan sesuai dengan permohonan yang telah dilaksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi KPWKM di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan R. Yuneswaran (PH-Segamat) yang bangun mencelah dan membangkitkan isu kekerapan permohonan bantuan JKM ditolak serta mempersoalkan sama ada pegawai yang membuat penilaian mempunyai latar belakang perubatan, memandangkan ramai penduduk khususnya di kawasan luar bandar mendapatkan rawatan tradisional.
Noraini berkata JKM telah menerima kenaikan peruntukan sebanyak RM2.7 bilion atau 12.83 peratus pada tahun ini, meningkat daripada RM2.4 bilion pada 2024 sekali gus memperkukuh penyampaian bantuan termasuk pelaksanaan syarat kelayakan yang diperluas bagi beberapa skim.
Beliau berkata kenaikan kadar bantuan itu melibatkan pelbagai kategori termasuk bantuan kanak-kanak daripada RM150-RM200 kepada RM200-RM250 seorang dengan had maksimum RM1,000 sekeluarga, warga emas daripada RM500 kepada RM600 sebulan dan bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) minimum RM100-RM350 kepada RM150-RM500.
Katanya syarat pendapatan bagi bantuan penjagaan OKU dan pesakit kronik terlantar juga dilonggarkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 manakala syarat kelayakan pendapatan bagi elaun pekerja OKU dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 dengan kadar RM450 sebulan dikekalkan.
Sementara itu, mengulas mengenai pencapaian satu peratus pengambilan pekerja OKU dalam sektor awam, Noraini berkata setakat 30 Jun lepas, hanya 0.64 peratus atau 9,331 individu golongan itu telah diambil bekerja manakala KPWKM sendiri telah mengisi 170 jawatan melibatkan OKU.
“KPWKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan agensi lain sangat komited untuk mencapai satu peratus penglibatan OKU dalam sektor perkhidmatan awam,” katanya.
Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM4,187,963,600 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026 dengan majoriti suara bersetuju selepas dibahas 26 Ahli Parlimen.
Terdahulu, pada sesi perbahasan itu beberapa Ahli Parlimen turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang disambut pada 25 Nov setiap tahun.
Mereka turut mengenakan pakaian berwarna oren selaras dengan saranan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul semalam sebagai tanda solidariti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial