JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Paras Sungai Di Kelantan Meningkat, APM Tingkat Pemantauan

25/11/2025 11:49 PM

KOTA BHARU, 25 Nov (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pemantauan paras sungai utama di Kelantan yang menunjukkan trend peningkatan susulan hujan berterusan di negeri ini sejak episod pertama Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada minggu lepas.

Ketua Pesuruhjaya APM Muhammad Abiddin Abd Rahman berkata pemantauan rapi di lapangan melibatkan agensi penyelamat dan jabatan teknikal amat penting bagi memastikan tindakan segera dapat diambil jika berlaku situasi kritikal.

“Beberapa sungai utama di Kelantan kini berada pada paras yang memerlukan perhatian berterusan. Hujan masih berlarutan dan keadaan ini meningkatkan risiko limpahan, khususnya di kawasan rendah,” katanya ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Islah di sini hari ini.

Beliau berkata episod pertama hujan lebat MTL ketika ini telah menjejaskan beberapa daerah termasuk Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

Mengulas tentang kesiapsiagaan, Muhammad Abiddin berkata sebanyak 1,200 pegawai dan anggota APM telah diaktifkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan, selain 91 aset darat dan air seperti bot fiber, bot tempur dan lori pelbagai guna berada dalam keadaan siap siaga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan