JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kerajaan Laksana Projek Rintis Taman RV, Nilai Keberkesanan Garis Panduan Baharu

26/11/2025 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan melaksanakan beberapa projek proof-of-concept pembangunan taman kenderaan rekreasi (RV) di beberapa lokasi seluruh negara bagi menilai keberkesanan garis panduan baharu sebelum ia diperluaskan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata inisiatif itu selaras dengan perkembangan industri RV yang semakin mendapat sambutan serta keperluan ruang dan kemudahan khusus untuk pengguna menjalankan aktiviti rekreasi mereka.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyediakan garis panduan perancangan taman kenderaan rekreasi yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 8 Okt 2024. Garis panduan ini berfungsi sebagai panduan menyeluruh kepada semua pihak dalam memastikan pembangunan tapak dan juga taman kenderaan rekreasi.

“Ia juga mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pengguna kenderaan rekreasi, pengusaha dan juga pemaju tapak dan pada masa sama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga agensi-agensi kawal selia bermula daripada peringkat perancangan, pertimbangan kelulusan sehinggalah peringkat pengoperasian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang bertanyakan usaha kerajaan dalam mempertingkatkan industri pelancongan berasaskan RV dari segi penyediaan taman RV kenderaan pelancongan untuk menampung pelancong domestik dan antarabangsa.

Aiman Athirah berkata dua projek rintis utama telah dilaksanakan di Pantai Hiburan Rompin, Pahang dengan kerjasama Majlis Daerah Rompin serta di Pantai Bagan Lalang, Sepang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang, yang masing-masing dilancarkan pada 29 Jun dan 21 Sept 2025.

Beliau berkata tiga lagi lokasi turut dikenal pasti, iaitu Pantai Cahaya Port Dickson, Taman Tasik Seremban dan Pantai Teluk Marina Kemaman, Terengganu.

Menjawab soalan tambahan Kalam yang mencadangkan supaya kementerian berunding dengan Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia (PCMM) bagi memastikan reka bentuk taman RV memenuhi saiz dan keperluan pengguna, Aiman Athirah berkata libat urus dengan pihak itu telah dijalankan.

“Sebenarnya memang kita mengadakan libat urus, garis panduan yang kita sebutkan tadi mengambil kira aspek termasuk saiz plot kenderaan rekreasi dan keperluan kemudahan-kemudahan yang wajib seperti (alat pemadam) kebakaran dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang ingin tahu mengenai kriteria pemilihan lokasi projek rintis, beliau berkata aspek akses kemasukan dan tahap risiko kawasan menjadi pertimbangan utama.

Beliau berkata peluasan prospek pelancongan RV bukan hanya bergantung kepada KPKT, sebaliknya memerlukan kerjasama kementerian lain termasuk Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

“Ia sebenarnya bukan sahaja terletak kepada KPKT, kerjasama pendekatan menyeluruh kerajaan itu diperlukan untuk kita sama-sama mengangkat lagi prospek ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan