JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Orang Asli Guna Rakit Buluh Rentas Sungai Peralong Bawa Bekalan Makanan, Motosikal

26/11/2025 05:09 PM

GUA MUSANG, 26 Nov (Bernama) -- Penduduk Orang Asli yang terkandas di jambatan Sungai Peralong di sini mengambil inisiatif membina rakit buluh bagi membawa motosikal mereka menyeberang sungai, susulan jambatan sementara di lokasi itu masih ditenggelami air sejak Ahad lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor Jamil Jabon berkata keputusan itu dibuat selepas mereka terkandas di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis ketika membawa pulang bekalan makanan musim tengkujuh yang dibeli di bandar Gua Musang.

“Mereka lapan sekawan sepakat bergotong-royong mencari buluh di hutan berhampiran dan bina sebuah rakit untuk membawa enam motosikal menyeberangi Sungai Peralong secara bergilir-gilir.

“Penduduk terpaksa mengambil risiko merentas sungai kerana ingin membawa pulang bekalan makanan kepada keluarga di Kampung Gawin, Pos Gob,” katanya hari ini.

Jamil berkata beliau dan isterinya juga terpaksa berpatah balik ke Pos Simpor selepas meredah perjalanan sejauh 45 kilometer.

“Saya dan isteri terpaksa membatalkan hasrat membeli barangan dapur dan makanan kering kerana tidak berani untuk pergi ke seberang,” katanya.

Beliau berkata penduduk di Pos Simpor juga kini berdepan masalah bekalan elektrik sejak Ahad lepas, namun kerja-kerja penyelenggaraan tidak dapat dijalankan kerana laluan utama ke kawasan itu masih tidak dapat diakses.

“Ketika ini kami bergantung kepada generator untuk mendapatkan elektrik di kampung. Bahan api generator ini hanya mampu bertahan dua hari lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata pihaknya telah menerima laporan daripada wakil penduduk berhubung masalah berkenaan.

“Perkara ini sedang dalam tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pasukan penyelenggaraan akan ke lokasi terlibat sebaik sahaja laluan boleh diakses,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan