KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1.8 juta individu telah menerima manfaat di bawah skim perlindungan kesihatan mySalam sejak dilancarkan pada 2019 sehingga September lepas, sekali gus menggambarkan keberkesanan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah mengurus beban kos rawatan dan kecemasan perubatan.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata jumlah itu merangkumi manfaat hospitalisasi, penyakit kritikal, pesakit di bawah siasatan (PUI) COVID-19 yang telah tamat tempoh, serta tuntutan peranti perubatan.
Beliau berkata tuntutan penyakit kritikal mencatatkan perbelanjaan tertinggi dengan nilai keseluruhan RM658 juta, memanfaatkan sebanyak 82,000 penerima, manakala manfaat hospitalisasi sebanyak 1.22 juta individu menerima manfaat dengan jumlah tuntutan sebanyak RM378 juta.
“Baki dana mySalam sehingga September 2025 adalah sebanyak RM490.8 juta. Inisiatif ini menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada individu B40 yang juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) antara 18 hingga 65 tahun serta pasangan mereka.
“Buat masa ini, surat ikatan amanah skim mySalam menetapkan bahawa manfaat skim ini hanya diperuntuk untuk golongan berpendapatan rendah saja, dengan pelaksanaan skim akan diteruskan pada 2026 selaras dengan pengumuman belanjawan baru-baru ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Lim menjawab soalan tambahan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) berhubung jumlah bayaran tuntutan perubatan dan individu yang menikmati manfaat inisiatif mySalam sejak program itu diperkenalkan, serta jika kerajaan berhasrat memperluas bantuan sama kepada golongan berpendapatan sederhana M40.
Beliau berkata cadangan memperluas mySalam kepada golongan M40 akan diteliti dan diperhalus terlebih dahulu sebelum dilaksanakan, bagi memastikan golongan berpendapatan sederhana dapat menikmati perlindungan kesihatan yang bersesuaian.
Selain daripada mySalam, Lim berkata Bank Negara Malaysia dengan kerjasama industri insurans dan takaful juga menawarkan produk Perlindungan Tenang, iaitu inisiatif produk insurans dan takaful untuk memenuhi keperluan segmen yang kurang mendapat akses dan terdedah kepada risiko khususnya golongan B40 dan M40.
Beliau berkata produk itu merangkumi insurans dan takaful yang diluluskan Bank Negara Malaysia yang memenuhi lima kriteria utama iaitu mampu milik, mudah didapati, bernilai baik, mudah difahami dan dibeli serta proses tuntutan yang mudah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial