PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana KPKM serta menggerakkan operasi di semua peringkat bagi membantu petani, peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir yang melanda enam negeri ketika ini.
KPKM memaklumkan pengaktifan itu selaras dengan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) bermula 13 Nov hingga Mac tahun depan, dengan jangkaan hujan lebat di beberapa negeri yang berpotensi menyebabkan banjir.
"Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat negeri dan daerah kini sedang memantau keadaan cuaca secara berterusan, membuat hebahan awal kepada golongan sasar serta melaksanakan pelan mitigasi bagi mengurangkan kerugian sektor agromakanan negara sepanjang tempoh bencana," menurut kenyataan itu hari ini.
KPKM memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana KPKM yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Isham Ishak, dan turut dihadiri Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah bersetuju bahawa kementerian akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu agensi itu menyalurkan kit bantuan banjir melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan serta menggerakkan jentera bantuan banjir melalui Jabatan Pertanian.
Menurut kenyataan itu, kerjasama akan diperluas dengan penglibatan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
"KPKM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia menggerakkan aset-aset bagi membantu usaha menyelamat mangsa banjir sekiranya diperlukan, tertakluk kepada kebenaran daripada NADMA.
"Selain itu, KPKM turut menyediakan bantuan pascabencana kepada mereka yang terkesan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi untuk tanaman padi dan Tabung Bencana Pertanian bagi aktiviti agromakanan, sebagai usaha membantu petani, penternak dan nelayan yang memerlukan bantuan segera," menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana KPKM di talian 03-88701663/1664/1491 atau Bilik Gerakan Negeri untuk mendapatkan maklumat lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial