JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Lebih 6,000 Rakyat Malaysia Terperangkap Banjir Di Thailand Selamat Dibawa Pulang - PM Anwar

27/11/2025 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lebih 6,000 rakyat Malaysia yang terperangkap akibat bencana banjir di Selatan Thailand telah selamat tiba di tanah air sejak operasi menyelamat digerakkan pada Ahad lepas (23 Nov).

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata misi berkenaan dilaksanakan dengan sebahagian besar disumbangkan oleh hampir 20 badan sukarelawan Malaysia yang digerakkan dengan kerjasama Wisma Putra, termasuk 13 pasukan bomba sukarela, selain bantuan Kerajaan Thailand.

“Saya amat terharu melihat keberanian dan kegigihan pasukan sukarelawan kita yang sanggup meredah banjir dan berdepan risiko demi menyelamatkan sesama rakyat Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan dan salute saya buat wira-wira kita,” kata beliau.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) atas bantuan dan koordinasi dalam menguruskan 36 pelajar serta dua pensyarah universiti itu yang terkandas di Hat Yai.

“Penat lelah dan komitmen semua pihak dalam memastikan keselamatan mereka mencerminkan keprihatinan, kepedulian dan semangat kebersamaan yang begitu tinggi tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang," kata beliau.

Anwar turut menyeru rakyat untuk terus mendoakan keselamatan sukarelawan serta semua pihak yang sedang meneruskan misi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di negara jiran berkenaan.

“Kerajaan melalui Wisma Putra akan terus memantau rapat situasi ini dan menghulurkan bantuan secepat mungkin. Terima kasih semua!," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan