JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sukarelawan Malaysia Tamatkan Operasi Menyelamat Mangsa Banjir Hat Yai

28/11/2025 02:58 PM

SUNGAI PETANI, 28 Nov (Bernama) -- Setelah lima hari terlibat dalam operasi menyelamat rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di Hat Yai, Thailand, pasukan sukarelawan terdiri daripada 45 anggota akhirnya menamatkan operasi mereka malam tadi.

Ketua Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani Leong Beng Tat berkata pasukan terdiri daripada sukarelawan dari Johor, Perak, Selangor serta beberapa pasukan dari negeri-negeri utara, akan pulang ke tanah air hari ini.

"Masih terdapat segelintir mangsa (rakyat Malaysia) di kawasan terjejas namun operasi terpaksa dihentikan kerana beberapa lokasi telah diisytiharkan sebagai kawasan berbahaya oleh pihak tentera Thailand dan tidak dibenarkan masuk.

"Sebarang permohonan bantuan baharu selepas ini akan disalurkan kepada pihak tentera dan polis Thailand untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kesemua sukarelawan yang terlibat dalam operasi itu telah memberikan komitmen tinggi dalam memastikan rakyat Malaysia yang terkandas mendapat bantuan.

"Semua anggota yang terlibat adalah atas dasar sukarela dan menanggung sendiri segala kos, termasuk meninggalkan keluarga serta komitmen kerja demi membantu rakyat Malaysia yang terkandas.

“Sepanjang operasi, ada anggota kami yang cedera namun kami tetap bersyukur kerana dapat menyelamatkan ramai pelancong Malaysia yang terperangkap,” katanya.

Beliau berkata sehinga semalam, pasukan penyelamat berkenaan telah membantu sekurang-kurangnya 1,500 rakyat Malaysia untuk keluar dari kawasan banjir di Hat Yai dan pulang ke tanah air dengan selamat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan