MELAKA, 28 Nov (Bernama) -- Ribut Tropika Senyar yang melanda beberapa negeri sejak petang semalam bukan sahaja menyebabkan 49 kes pokok tumbang direkodkan, malah turut meragut satu nyawa dalam kejadian di Jalan Selandar-Machap, di sini awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata walaupun bukan secara langsung daripada ribut, namun kematian penunggang motosikal dalam kejadian terbabit adalah akibat melanggar pokok yang tumbang kesan ribut berkenaan.
Beliau berkata keseluruhannya Negeri Sembilan mencatatkan kesan paling teruk, termasuk masing-masing satu insiden cerun runtuh dan runtuhan struktur, selain dua kes banjir.
“Negeri Sembilan juga merekodkan 33 kes pokok tumbang, diikuti Melaka (lapan), Selangor (lima), Putrajaya (dua) dan Perak (satu),” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat JBPM di Ayer Keroh, hari ini.
Beliau berkata meskipun Ribut Tropika Senyar telah melemah dan diturun taraf kepada sistem cuaca bertekanan rendah, JBPM tetap bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk peningkatan kes pokok tumbang dan cerun runtuh susulan struktur tanah yang menjadi lembut akibat hujan berterusan.
Sementara itu, Nor Hisham berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dinasihatkan supaya melakukan koordinasi dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi memastikan keselamatan semua pihak.
“Kita meraikan peranan NGO dan individu dalam membantu pemindahan serta penghantaran logistik, namun mereka perlu memaklumkan kepada PKOB selain memakai jaket keselamatan.
“Kita bimbang niat untuk membantu boleh mengundang risiko lain. Dalam masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengunjungi lokasi berisiko termasuk kawasan rekreasi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial