JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Polis Johor Kenal Pasti 874 Lokasi Berisiko Banjir

03/12/2025 11:45 AM

JOHOR BAHRU, 3 Dis (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor telah mengenal pasti 874 lokasi berisiko banjir di seluruh negeri sebagai langkah awal memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata antara kawasan titik panas yang dikenal pasti ialah Batu Pahat dengan 278 lokaliti, Segamat (118), Muar (99), Kota Tinggi (77), Kluang (57), Johor Bahru (51), Pontian (70), Tangkak (68), Mersing (32) dan Kulai (24).

Beliau berkata pihaknya telah menyediakan kekuatan sumber manusia sebanyak 1,280 pegawai dan anggota yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Selain kekuatan tersebut, bantuan sumber manusia daripada elemen Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (KDNKA) turut boleh diatur gerak melibatkan 201 pegawai dan anggota.

“Bantuan itu terdiri daripada 94 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), enam anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU), 34 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 2 Johor Bahru serta 67 anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 2 untuk membantu pelaksanaan operasi menyelamat serta pengurusan keselamatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan bagi bulan Disember di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata pihaknya termasuk KDNKA turut menyediakan aset logistik operasi bencana merangkumi 112 kereta, 92 kenderaan pacuan empat roda (4X4), 25 van, 28 lori, 46 bot, 36 unit enjin bot, 29 treler bot, 74 genset, 451 jaket keselamatan, tiga jet ski, dua amphibian dan sebuah helikopter berpangkalan di Subang, Selangor.

“Kesemua aset ini akan digunakan bagi menyokong operasi menyelamat, pemindahan mangsa, rondaan kawasan terjejas, pemantauan keselamatan, penugasan kawalan trafik serta pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) di lokasi-lokasi berisiko tinggi.

“Selain itu, PDRM Johor turut menjalinkan kerjasama strategik bersama dengan agensi terlibat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan penyelarasan operasi yang lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengamalkan langkah keselamatan, khususnya jika berada di kawasan yang dikenal pasti berpotensi dilanda banjir.

MTL 2025/2026 diramal berlaku hingga Mac 2026, dengan fasa peralihan monsun dijangka bermula pada akhir Oktober hingga November ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan