KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkukuh agenda tadbir urus syarikat dengan melancarkan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) berpiawaian MS ISO 37001:2016, sekali gus menegaskan komitmen KTMB terhadap peningkatan integriti, ketelusan dan akauntabiliti organisasi.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata syarikat itu telah melengkapkan lima fasa pelaksanaan ABMS, merangkumi fasa kesedaran, pemahaman keperluan standard, penilaian risiko dan dokumentasi, pembangunan dokumentasi ABMS, serta audit dan kajian semula pengurusan.
“KTMB juga telah menjalani audit dalaman pada Mei 2025, diikuti kejayaan memperoleh pensijilan penuh ABMS pada 29 Okt 2025. Pencapaian ini selaras dengan hala tuju kerajaan yang menggalakkan pelaksanaan ABMS secara berfasa di setiap agensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis pelancaran ABMS disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azmi Kamaruzaman, yang turut menyampaikan Kit Integriti KTMB kepada pengurus kanan wilayah.
Ahmad Nizam berkata kit berkenaan disediakan sebagai panduan komprehensif bagi memperkukuh budaya tadbir urus berintegriti di semua peringkat organisasi, termasuk rujukan dasar, garis panduan kepatuhan serta amalan terbaik pencegahan rasuah di KTMB.
Program itu turut menampilkan forum integriti bertajuk “Mulia Kerana Maruah, Musnah Kerana Rasuah”, dengan Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters Nurhayati Nordin, sebagai moderator.
Ahli panel forum terdiri daripada Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin, Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, dan Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Azhan Abdul Halim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial