JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Fasiliti Kesihatan Sarawak Terima Peningkatan Besar Melalui Bitara MADANI

03/12/2025 03:04 PM

KUCHING, (Bernama) -- Usaha meningkatkan fasiliti kesihatan di seluruh Sarawak terus dipergiat melalui beberapa inisiatif utama, khususnya di bawah program Bitara Madani serta peruntukan tambahan daripada kerajaan persekutuan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata setakat tahun ini, 65.9 peratus klinik kesihatan di Sarawak masih dikategorikan sebagai uzur, menunjukkan peningkatan ketara berbanding 76.4 peratus yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata kemajuan ini didorong oleh inisiatif Bitara MADANI yang dilaksanakan sejak 2023, disokong dengan peruntukan RM100 juta untuk menaik taraf infrastruktur dan peralatan klinikal, serta RM5.2 juta untuk aset bernilai rendah dan barangan modal bagi 2025.

“Setakat November tahun ini, sejumlah RM67.5 juta telah disalurkan melalui inisiatif Bitara MADANI di seluruh negeri,” katanya ketika membentangkan ucapan penangguhan di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan tambahan RM50 juta untuk enam projek bagi menaik taraf fasiliti kesihatan uzur di Sarawak.

“Kesemua enam projek kini berada di peringkat pra-pelaksanaan, dengan proses tender akan dipanggil sebaik Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memuktamadkan reka bentuk projek.

“Projek akan datang merangkumi naik taraf Klinik Kesihatan (KK) Biawak di Lundu, KK Tepus di Selangau, KK Kuala Lawas di Lawas, KK Tun Abang Haji Openg di Subis, KK Tanjung Bijat di Sri Aman, serta pembinaan Ward Pengasingan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak,” jelas beliau.

Di bawah inisiatif projek perintis, beliau berkata dua klinik baharu iaitu KK Nanga Atoi dan KK Nanga Ngungun telah diluluskan dengan kos anggaran keseluruhan sebanyak RM12.8 juta.

“Kedua-dua klinik kini dalam pembinaan, dengan KK Nanga Atoi dijangka siap pada akhir tahun ini manakala KK Nanga Ngungun pada suku ketiga 2026.

“Bagi 2025, Kementerian Kesihatan telah memperuntukkan RM52.8 juta untuk kerja menaik taraf, pengubahsuaian dan pembaikan klinik kesihatan di seluruh Sarawak,” tambahnya.

Beliau menambah peruntukan itu termasuk RM40 juta di bawah Bitara Madani, RM7.5 juta bagi perkhidmatan klinik luar bandar, RM1.3 juta untuk menaik taraf dan membaik pulih kuarters, serta RM4 juta untuk projek solar hibrid di KK Long Semadoh.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan