JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kes Lemas Taman Prima Saujana: Radius Operasi SAR Remaja Diperluas

05/12/2025 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperluaskan sektor operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki yang hilang selepas dilaporkan hanyut dibawa arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang dalam kejadian di Lorong 1/3A Taman Prima Saujana, Kajang, semalam.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata operasi pencarian remaja berusia 14 tahun itu bermula di lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus sehingga persimpangan Sungai Langat dalam radius kira-kira empat kilometer (km).

"Operasi SAR turut dijalankan di Sungai Langat kira-kira pada jarak tiga km menggunakan bot dan pencarian melalui dron juga sepanjang 3km (hulu dan hilir sungai).

"Kita turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dengan dibantu BBP Bangi dan Dengkil bagi pemantauan sekitar kawasan sungai di bawah seliaan kawasan balai berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Ahmad Mukhlis berkata operasi sedang giat diteruskan pasukan SAR di beberapa lokasi.

Semalam, dua beradik lelaki berusia 12 dan 14 tahun dikhuatiri lemas selepas didakwa terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, Kajang.

Mangsa berusia 12 tahun ditemukan pada 7.47 malam tadi di Sungai Merbau di Kampung Sungai Kantan, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan