JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Orang Ramai Diingatkan Patuhi Arahan Penutupan Laluan Di Jalan Aring

06/12/2025 04:21 PM

KUALA TERENGGANU, 6 Dis (Bernama) -- Pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi arahan penutupan laluan FT036, Seksyen 89.00 Jalan Aring 8-Tasik Kenyir-Kuala Jeneris di Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Datuk Hanafiah Mat berkata pengguna juga diingatkan menggunakan jalan alternatif yang ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian sebuah kenderaan terjatuh ke dalam gaung ketika melalui jalan berkenaan semalam berulang.

“Keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan sebarang tindakan berisiko perlu dielakkan.

“Kami juga berharap masyarakat dapat terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sehingga projek pemulihan infrastruktur ini dapat dimulakan dan disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, sepasang bakal pengantin maut di lokasi kejadian selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), Kuala Berang. 

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila SUV tersebut terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 60 meter ketika mangsa yang dari arah Hulu Terengganu menghala ke Gua Musang melalui jalan yang ditutup.

Sebelum ini jalan berkenaan ditutup sepenuhnya akibat tanah runtuh, berikutan hujan lebat pada musim tengkujuh pada November tahun lepas.

Sambil menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang menimpa, Hanafiah berkata buat masa ini tiada laluan sementara dibuka di lokasi runtuhan selepas penilaian risiko mendapati potensi runtuhan masih wujud dan membahayakan pengguna. 

Terdahulu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam hantaran di Facebook berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memasang papan tanda amaran dan penghadang konkrit dengan jelas sebagai langkah keselamatan, manakala pemantauan berterusan turut dilaksanakan bersama oleh pihak konsesi. 

“Penutupan laluan ini telah diwartakan di bawah Seksyen 70 Akta Pengangkutan Jalan 1987 merangkumi sebahagian Jalan Persekutuan FT36 dari Seksyen 55.60 hingga Seksyen 139.30,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan