KOTA BHARU, 6 Dis (Bernama) -- Jenazah mangsa kemalangan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabas ke dalam gaung di Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), Terengganu, selamat dikebumikan malam ini.
Jenazah Hassan Shazali, 52, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh pada 9.10 malam, manakala jenazah Suzaimah Che Azis, 34, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir, Gua Musang, pada 9.26 malam tadi.
Suasana pilu menyelubungi suasana di tanah perkuburan apabila ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan ketika urusan pengebumian dijalankan.
Terdahulu, jenazah kedua-dua mangsa dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Hulu Terengganu setelah proses bedah siasat selesai dijalankan sebelum dibawa pulang ke kediaman masing-masing.
Dalam kejadian pada 5.30 petang semalam, kedua-dua mangsa yang dikatakan bakal mendirikan rumah tangga itu maut selepas SUV yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), Terengganu.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa dari arah Hulu Terengganu menghala ke Gua Musang melalui jalan berkenaan yang ditutup akibat tanah runtuh.
Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial