JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Reformasi Perkhidmatan Awam Dapat Sokongan Penuh Kerajaan Negeri - KSN

06/12/2025 07:32 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Semua Setiausaha Kerajaan Negeri menyatakan komitmen penuh untuk bersama kerajaan Persekutuan melaksanakan reformasi perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat, walaupun berbeza ideologi politik, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata kesediaan itu dizahirkan pada Mesyuarat Sidang Pleno Khas yang dipengerusikannya hari ini, yang berlangsung bersempena dengan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini.

“Apabila kita bercakap tentang reformasi perkhidmatan awam, ia bukan hanya berkisar pada peringkat kerajaan Persekutuan ... ia mesti disambut dan digerakkan bersama oleh kerajaan negeri dan kerajaan tempatan,” katanya kepada Bernama.

Ditanya mengenai ruang penambahbaikan selepas tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, beliau berkata setiap tindakan kerajaan berteraskan dua prinsip utama, iaitu tiada siapa yang akan tercicir dan segala usaha adalah demi kesejahteraan rakyat.

“Sebenarnya semua yang kita buat asasnya ialah bahawa ‘tiada siapa yang akan tercicir’. Kedua, semua tindakan kita adalah untuk kesejahteraan rakyat. Jadi segala langkah seterusnya akan berpegang kepada dua prinsip ini,” katanya.

Mengulas perkembangan Program Rancakkan MADANI, Shamsul Azri berkata setakat hari kedua penganjuran dan hingga 1 tengah hari, jumlah pengunjung mencecah 177,000 orang, menggambarkan minat dan sokongan rakyat terhadap usaha transformasi perkhidmatan awam.

Beliau berkata kemuncak program esok ialah Sidang Konvensyen Khas yang akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri  Fadillah Yusof yang akan menghuraikan pencapaian Kerajaan Perpaduan sejak tiga tahun lepas serta hala tuju kerajaan ke hadapan.

“Konvensyen ini amat menarik kerana ia memberikan gambaran jelas mengenai apa yang telah kita lakukan dalam tempoh tiga tahun ini dan apakah tumpuan reformasi untuk dua tahun akan datang. Majlis penutup pula akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 pagi,” katanya.

Hari kedua program Rancakkan MADANI diteruskan malam ini dengan Konsert Gema Qalbi anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang bakal menggetarkan jiwa dan memukau halwa telinga pengunjung dengan dendangan lagu ketuhanan daripada barisan artis nasyid tempatan, antaranya Faizal Tahir, Raqib Majid, kumpulan UNIC serta INTEAM, bermula 9 hingga 11 malam.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula semalam menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.

Program berskala nasional itu anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), menyasarkan 300,000 pengunjung dan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

Ia kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Serentak dengan program itu, turut berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang menghimpunkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam serta pemain industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan