JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Usia Emas Bukan Penghalang Terus Berbakti - Lee Lam Thye

07/12/2025 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Penganjuran MyWellFair: Supporting Mental Well-being Together - Rewire­ment Not Retirement hari ini menampilkan pendekatan rewirement bagi memperkasakan warga emas supaya kekal aktif dan terus menyumbang kepada masyarakat walaupun telah meninggalkan alam pekerjaan.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata pendekatan itu menekankan perubahan minda bahawa persaraan tidak seharusnya mengehadkan kemampuan warga emas untuk terus berperanan dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Saya percaya bahawa warga emas satu golongan yang istimewa atas khidmat mereka dalam pelbagai bidang. Mereka telah memperoleh banyak pengalaman dan harus berkongsi pengalaman dengan anggota masyarakat terutamanya golongan muda-mudi,” katanya kepada Bernama pada program itu di sini.

Persidangan yang disertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut memberikan peluang kepada warga emas berinteraksi, terlibat dalam aktiviti komuniti dan menawarkan khidmat mereka kepada pihak yang memerlukan.

Lee yang kini berusia 79 tahun dan bakal mencecah 80 tahun berkata usia bukan halangan untuk terus berbakti.

“Sungguhpun saya boleh dianggap sebagai seorang yang berusia, tetapi saya rasa bahawa saya masih ada minat dan semangat untuk terus berkhidmat kepada masyarakat. 

“Saya mengambil inisiatif untuk mewujudkan Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat kerana saya mempunyai banyak pengalaman apabila bertugas di dalam Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH). Saya yakin bahawa sumbangan saya akan memberikan banyak manfaat kepada golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pengasas Third Age Media Association Cheah Tuck Wing dalam ucapannya  berkata persepsi umum terhadap persaraan sering membawa kepada kehilangan jati diri, pengasingan sosial dan kemerosotan kesihatan mental.

“Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, prevalens masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa di Malaysia meningkat kepada 29.2 peratus, hampir tiga daripada 10 rakyat Malaysia, dan walaupun perkara ini menjejaskan semua kumpulan umur, kesannya amat ketara dalam kalangan warga emas,” katanya. 

Cheah, yang juga pengerusi Malaysian Coalition on Ageing (MCOA), berkata konsep ‘rewirement’ menggalakkan warga emas menyumbang kemahiran, memanfaatkan pengetahuan dan masa untuk aktiviti bermakna seperti menjadi mentor, kerja sukarela dan terlibat dengan komuniti. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan