KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kejayaan yang dicapai Malaysia di dalam negara dan pada peringkat antarabangsa antaranya adalah hasil kerja berpasukan seluruh penjawat awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata prestasi seorang Perdana Menteri, sama ada baik atau lemah juga banyak bergantung kepada kekuatan perkhidmatan awam, termasuk tenaga kerja di semua peringkat.
“… ramai yang menyatakan rasa terharu, kagum atas kejayaan-kejayaan kita. Sidang ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-ASEAN baru-baru ini dan kunjungan kita ke luar negara, orang melihat Malaysia ini sebagai negara yang punyai potensi dari segi pelaburan, teknologi baru, AI (kecerdasan buatan) dan sebagainya.
“Tapi kadang-kadang orang lupa, ini berlaku kerana kerja-kerja sebagai satu pasukan, dari penjawat awam yang serendah-rendah, yang membersihkan tempat, yang menyediakan kelengkapan, di barisan hadapan, sehinggalah ke penjawat awam peringkat tinggi dan barisan Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Makan Malam sempena Konvensyen Kongres Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ke-30 di sini, malam ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan tambahan RM500,000 bagi membantu perjalanan konvensyen tiga hari yang akan berakhir esok.
Sementara itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan atas usaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta CUEPACS yang bertungkus lumus memastikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dapat dilaksanakan sehingga mendapat sambutan positif dalam kalangan penjawat awam.
“Luar biasa. Dan cetusan, ingatan dari hati, ikhlas dan tentunya mengesankan saya dan rakan-rakan, KSN, KPPA dan seluruh jentera JPA yang bertungkus lumus bekerja untuk menyiapkan sistem saraan baharu yang mendapat sambutan yang begitu baik dalam kalangan penjawat awam keseluruhannya,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan nilai ihsan, prihatin dan rahmah hanya dapat dizahirkan apabila penjawat awam berpendapatan rendah diberikan perhatian sewajarnya dalam pelaksanaan sistem saraan baharu itu.
“Untuk menterjemahkan kepada bentuk amal ialah memastikan keluarga kita, keluarga besar penjawat awam pada peringkat serendah mungkin itu diberi perhatian dan diberi pertimbangan ganjaran yang seadil mungkin. Itu dasar MADANI Islam,” katanya.
Terdahulu, Adnan dalam ucapannya berkata CUEPACS dan seluruh penjawat awam akan terus taat setia dan berkhidmat tanpa berbelah bahagi kepada Kerajaan MADANI, termasuk memastikan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Beliau berkata kesatuan itu juga menyahut saranan Perdana Menteri dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam supaya penjawat awam memberikan pulangan setimpal terhadap pengumuman dan inisiatif kerajaan.
“… itulah komitmen kita untuk memudahcarakan rakyat dengan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik yang kita akan beri kepada rakyat dan kerajaan. Apatah lagi Kerajaan MADANI sentiasa sangat prihatin dalam kebajikan penjawat awam.
“Yakin dan percayalah, walau apa yang akan berlaku pada masa akan datang, walau apa dasar yang berubah, ia tidak akan melalaikan prinsip no less favorable (atau) tidak kurang baik daripada apa yang kita dapat pada hari ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial