JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

‘One Citizen, One Record’ Pacu Transformasi Digital Kesihatan Negara - Dzulkefly 

10/12/2025 10:52 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Pemerkasaan agenda pendigitalan menerusi kaedah rekod perubatan elektronik One Citizen, One Record menjadi fokus utama dalam mentransformasi sistem kesihatan negara, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pelaksanaan kaedah itu membolehkan sektor kesihatan diperkukuh bagi memastikan maklumat pesakit dapat diakses secara tepat dan pantas, mengurangkan pertindanan rekod, meminimumkan risiko kesilapan maklumat serta menyokong penyampaian perkhidmatan klinikal lebih berkualiti.

“Pendigitalan ini pada akhirnya mesti membawa kepada apa yang disebut sebagai One Citizen, One Record iaitu rekod perubatan elektronik nasional yang benar-benar saling beroperasi (interoperable) dan dengan kaedah itu, maka penjagaan pesakit (patient care) dan penjagaan populasi (population care) menjadi jauh lebih berkesan.

“Kita memerlukan satu rekod perubatan elektronik yang bersifat nasional, di mana orang awam dan malah pihak swasta, hospital ke hospital dan klinik ke klinik saling beroperasi. Jadi, anda mempunyai integrasi horizontal dan integrasi vertikal (data yang seragam),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan topik Reformasi Kesihatan MADANI: Mendepani Cabaran Struktur, malam ini.

Menurut Dzulkefly, usaha pendigitalan dipacu secara menyeluruh bermula di peringkat penjagaan primer termasuk penggunaan sistem pengurusan klinik berasaskan awan (cloud-based clinic management system (CCMS) di klinik kesihatan seluruh negara.

Setakat 17 Okt lepas, beliau berkata sebanyak 160 klinik kesihatan telah didigitalkan dan Kementerian Kesihatan menyasarkan 2,489 fasiliti kesihatan primer termasuk klinik kesihatan, klinik ibu dan anak, klinik komuniti dan klinik desa akan melalui proses sama menjelang 2028.

Selain itu, Dzulkefly berkata sebanyak 956 klinik pergigian akan didigitalkan sepenuhnya menjelang 2027, manakala rekod perubatan elektronik (electronic medical record) (EMR) pula akan dilaksanakan di 136 hospital seluruh negara menjelang 2029.

Beliau berkata pelaksanaan sistem digital kesihatan negara akan membantu mengurangkan masa menunggu pesakit secara signifikan termasuk dalam urusan janji temu yang lebih mudah, rawatan susulan serta pemberian ubat.

“Dulu mungkin pesakit kena bawa filem X-ray, MRI (pengimejan resonans magnetik) dan sebagainya, tetapi sekarang kalau boleh diberi ilustrasinya menerusi EMR nasional, seorang pesakit di mana pun dia pergi kaedahnya adalah saling berhubung, saling beroperasi.

“Di mana pun kliniknya, dengan identiti digital anda, pesakit masuk (untuk rawatan), pesakit itu sepatutnya tidak ditanya sakit apa, ada alahan apa, pernah buat prosedur apa, ubat apa, semua pesakit sepatutnya ditanya soalan yang sama sekali sahaja," katanya.

Dzulkefly berkata matlamat akhir transformasi itu ialah membolehkan integrasi penuh antara sektor awam dan swasta bagi mewujudkan ekosistem kesihatan nasional yang benar-benar holistik.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan