KANGAR, 11 Dis (Bernama) -- Perlis mencatakan kadar obesiti tertinggi iaitu 32.8 peratus manakala kadar prevalens diabetes sebanyak 20.6 peratus, iaitu ketiga tertinggi di Malaysia berdasarkan statistik terkini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan dan Alam Sekitar Perlis Wan Badariah Wan Saad berkata tindakan telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan usaha kerajaan negeri termasuk promosi pelancongan dan kesihatan rakyat bergerak seiring tanpa memberikan kesan negatif.
“Jabatan Kesihatan negeri mengambil maklum penganjuran Food Festival yang kini menjadi tarikan masyarakat umum di Perlis dan menjadi tanggungjawab jabatan memastikan pengendali dan makanan dijual mematuhi tahap keselamatan dan berkualiti.
“Pelbagai aktiviti advokasi dilakukan kepada pengendali makanan dan pengunjung Food Festival bagi menyediakan dan pemilihan yang lebih sihat seperti minuman kurang manis atau tanpa gula, porsi makanan lebih kecil, menggalakkan penjualan buah dan sayur serta cakna kandungan kalori,” katanya.
Wan Badariah berkata demikian semasa menjawab soalan Megat Hashirat Hassan (PN-Pauh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Megat Hashirat ingin tahu tindakan pihak kerajaan negeri dalam isu penganjuran festival makanan yang hebat dipromosikan di Perlis yang dirasakan berkait rapat dengan kesihatan termasuk obesiti dan diabetes di negeri itu.
Wan Badariah menjawab soalan itu bagi mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan dan Keusahawanan Perlis Datin Marzita Mansor.
Selain itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Perlis melalui kerjasama dan sokongan Jabatan Pendidikan negeri akan melaksanakan kempen “Perang Terhadap Gula” dalam kalangan warga sekolah melibatkan murid, guru dan pengusaha kantin menggunakan model Kementerian Kesihatan (KKM) “Sihat Stail Saya” tahun depan.
“Program advokasi ini berkonsepkan primordial, iaitu aktiviti pencegahan sejak awal dalam kalangan murid bagi mengekang peningkatan prevalens penyakit tidak berjangkit apabila mereka menginjak remaja dan dewasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial