BUKIT MERTAJAM, 14 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) sebagai langkah berterusan bagi mengurangkan beban tugas guru.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata keputusan itu dibuat susulan penilaian berterusan kementerian terhadap beban kerja guru serta maklum balas warga pendidik yang berpandangan sistem berkenaan menjejaskan tumpuan mereka terhadap tugas hakiki.
Beliau berkata KPM sebelum ini telah melaksanakan pelbagai intervensi, termasuk penambahbaikan terhadap Sistem Sahsiah Disiplin Murid, bagi menangani isu beban tugas guru dari semasa ke semasa.
“Hari ini, KPM mengumumkan SPLKPM dimansuhkan kerana ia memberi kesan langsung terhadap kebajikan guru dan beban tugas mereka.
“Setiap langkah yang diambil adalah sebahagian daripada komitmen berterusan KPM untuk mengurangkan beban guru,” katanya dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin di sini hari ini.
Fadhlina berkata SPLKPM sering menjadi topik perbincangan dalam kalangan guru, yang mahu memastikan mereka tidak terikat dengan keperluan sistem berkenaan sehingga mengganggu fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Menurutnya, pemansuhan sistem itu bertujuan memberi ruang kepada guru untuk memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas, khususnya menjelang pelaksanaan kurikulum baharu dan pelan pembangunan pendidikan yang akan diperkenalkan tahun hadapan.
Beliau menegaskan KPM akan terus meneliti sebarang langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan beban tugas guru secara konsisten demi memperkukuh kualiti pendidikan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial