JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Yang Di-pertuan Agong Nasihat Jemaah Menteri Bekerja Demi Rakyat

17/12/2025 02:24 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah menasihatkan anggota Jemaah Menteri agar sentiasa menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti serta mengutamakan kepentingan rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah kerajaan perlu menitikberatkan kesejahteraan rakyat, kestabilan negara serta kemakmuran ekonomi selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.

Sultan Ibrahim turut menekankan kepentingan kerjasama berpasukan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan cekap dan berkesan.

“Menteri dan Timbalan Menteri perlu sentiasa turun padang mendengar suara rakyat. Anda perlu menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi,” titah  Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh menteri-menteri dan timbalan menteri Persekutuan.

Majlis yang berlangsung di Istana Negara itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan