JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

LLM Gerak Persiapan Pastikan Perjalanan Sempena Krismas Selamat, Lancar

19/12/2025 12:17 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menggerakkan persediaan rapi bagi memastikan perjalanan selamat dan lancar sempena sambutan Hari Krismas termasuk tiada penutupan lorong kecuali bagi kerja kecemasan dari hari ini hingga 28 Dis.

Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun dalam kenyataan hari ini, berkata smart lane turut diaktifkan di 30 lokasi strategik serta memastikan sistem kutipan tol lancar termasuk pelaksanaan kutipan tol berlapis di plaza yang sibuk bagi mengelakkan kesesakan.

“Semua kemudahan lebuh raya termasuk Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah akan beroperasi sepenuhnya.

“Kemudahan tambahan seperti parkir dan tandas mudah alih disediakan, bilangan petugas ditambah bagi memastikan kebersihan, bekalan air mencukupi dan bekalan minyak di stesen sepanjang lebuh raya turut dijamin,” katanya. 

Pengguna disarankan merujuk TuJu Highway Navigation App LLM dan cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) bagi memudahkan perancangan selain memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta baki kad tol atau e-dompet mencukupi.

Penunggang motosikal dinasihatkan supaya berhati-hati dan menggunakan tempat berteduh disediakan jika cuaca buruk yang disediakan di 571 lokasi di sepanjang lebuh raya.

Pada perkembangan lain, Sazali berkata LLM menyambut baik pengumuman Kerajaan MADANI memberikan diskaun tol 50 peratus bagi kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) bermula 12.01 tengah malam 23 Dis hingga 11.59 malam 24 Dis di semua plaza tol kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang.

LLM menjangkakan trafik tertinggi sehingga 2.6 juta kenderaan sehari pada hari puncak dengan 2.2 juta kenderaan menggunakan lebuh raya Kumpulan PLUS selain peningkatan ketara juga dijangka di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan  2 serta Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

Pengguna boleh mendapatkan status trafik semasa melalui media sosial rasmi LLM di Facebook, X @LLMtrafik, TikTok @llmtrafik atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM menerusi talian 1-800-88-7752.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan