JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Lebih 11 Juta Imej Arkib Didigitalkan, Arkib Negara Perkukuh Akses Warisan Negara

19/12/2025 12:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Lebih 11 juta imej arkib telah berjaya didigitalkan oleh Arkib Negara Malaysia (ANM) setakat November lepas, sekali gus memperkukuh usaha memelihara dan memudahkan akses warisan negara.

Ketua Pengarah ANM Zaidin Mohd Noor berkata pencapaian itu menunjukkan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan bahan arkib dapat diakses generasi kini dan akan datang.

“Projek pendigitalan yang bermula sejak 1997 ini melibatkan fail, bahan audiovisual serta objek bernilai kekal bagi tujuan pemeliharaan, rujukan dan kelestarian warisan negara,” katanya dalam temu bual bersama pengacara Ally Iskandar dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata koleksi audiovisual ANM merangkumi rakaman peristiwa, sejarah lisan, pengisahan sejarah, wawancara, konvensyen, bengkel dan seminar dalam pelbagai format termasuk gambar foto, kaset, pita sistem video rumah (VHS), piring hitam, cakera padat, cakera video digital dan betacam.

Usaha ini memudahkan rakyat mengakses dokumen dan bahan sejarah yang mencerminkan perjalanan serta kepelbagaian masyarakat Malaysia melalui portal Online Finding Aid, Pameran Maya, Galeri Maya Negarawan dan program Hari Ini Dalam Sejarah (HIDS).

Selain itu, ANM turut melaksanakan pelbagai program pengembangan seperti pameran, forum sejarah dan program pendidikan bersama sekolah serta institusi pengajian tinggi bagi menyemai semangat patriotisme, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

Zaidin berkata ANM juga menampilkan 11 memorial tokoh negarawan termasuk Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tun Hussein Onn, Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Galeria Sri Perdana bagi membolehkan pengunjung menghargai pengorbanan generasi terdahulu.

“Peranan ANM bukan sekadar menyimpan rekod sejarah, malah menjadi platform untuk menyatukan rakyat melalui penghayatan sejarah dan warisan negara, sekali gus membina rasa kebersamaan dan jati diri sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Program Arkib@Sekolah yang dilancarkan pada 5 Mei lepas di Sekolah Menengah St Mary, Sandakan akan diteruskan dan diperluas pada tahun depan bagi mendekatkan bahan arkib kepada pelajar, memupuk kesedaran sejarah, jati diri dan semangat patriotisme.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah pameran Malaysia Tanah Airku, demonstrasi pemeliharaan bahan arkib, kuiz sejarah, teka silang kata serta Eksplorasi Arkib@Sekolah dan Eksplorasi Negarawan.

Sementara itu, program Arkib Komuniti yang dilancarkan di Klang pada 17 Mei lepas juga akan diperluas ke lebih banyak komuniti dan daerah di seluruh negara pada tahun depan bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pengesanan, pengumpulan, pendokumentasian dan pemeliharaan warisan komuniti.

Program ini turut menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama serta berpotensi dibangunkan sebagai edutourism.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan