JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pelantikan Hannah Yeoh Wajar Dinilai Berdasarkan Rekod, Bukan Persepsi - Ahli Akademik

19/12/2025 03:28 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) wajar dinilai berdasarkan pengalaman, rekod perkhidmatan serta kerangka tadbir urus sedia ada, bukannya berlandaskan persepsi atau sentimen perkauman.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata dari sudut akademik dan tadbir urus, Hannah merupakan tokoh yang layak diketengahkan memandangkan pengalaman luasnya dalam pentadbiran, termasuk pernah mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Dari segi rekod prestasi, Hannah seorang tokoh yang cemerlang, malah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz sendiri pernah memberikan pengiktirafan terhadap keupayaan beliau,” katanya kepada Bernama.

Mazlan berkata kedudukan Hannah sebagai Ahli Parlimen Segambut, yang terletak di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, turut menjadikan pelantikannya selari dengan keperluan portfolio berkenaan.

Beliau berkata latar belakang politik Hannah yang berakar di Kuala Lumpur membolehkan beliau memahami secara langsung isu yang dihadapi warga kota, termasuk kos sara hidup, perumahan, penjaja kecil dan cabaran infrastruktur bandar.

“Beliau dikenali sebagai wakil rakyat yang membantu golongan marhaen tanpa mengira kaum, termasuk penjaja dan masyarakat Melayu. Hal ini menunjukkan pendekatan beliau bersifat inklusif dan berorientasikan perkhidmatan,” katanya.

Mengulas kebimbangan segelintir pihak terhadap latar belakang kaum menteri berkenaan, Mazlan menegaskan isu terbabit lebih bersifat persepsi dan naratif politik.

“Hakikatnya, seorang Menteri Wilayah Persekutuan tidak boleh membuat keputusan dasar secara bersendirian. Segala keputusan perlu dibincangkan dan dimuktamadkan pada peringkat Kabinet dengan Perdana Menteri sebagai penentu,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kebimbangan bahawa pelantikan berkenaan boleh menjejaskan kepentingan mana-mana kaum adalah tidak berasas dan tidak selari dengan struktur pentadbiran negara.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Gerakan Belia 4B (M) Wilayah Persekutuan Am Amar Izzuden Hamidun berpandangan pelantikan menteri yang juga Ahli Parlimen dari Wilayah Persekutuan merupakan satu kelebihan dari segi kefahaman isu setempat dan keberkesanan pelaksanaan dasar.

Beliau berkata belia mengharapkan pendekatan dasar yang lebih progresif, inklusif dan mesra golongan berkenaan di bawah kepimpinan Hannah, khususnya dalam aspek peluang pekerjaan, keusahawanan, perumahan mampu milik serta pembangunan modal insan belia bandar.

“Belia hari ini menilai kepimpinan berdasarkan keupayaan, integriti dan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, bukan latar belakang kaum,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan