KUANTAN, 19 Dis (Bernama) -- Mangsa banjir di sini menerima hidangan istimewa apabila Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyumbang makanan yang disediakan oleh cef di Istana Abdulaziz.
Sebanyak 340 bungkus pelbagai menu seperti nasi goreng cina telur mata, kuetiau goreng telur mata dan bihun goreng telur mata berserta minuman diagihkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Melati di sini hari ini.
“Hari ini, 19 Dis merupakan hari ketiga dapur istana meriah seawal 5.30 pagi bagi menyediakan makanan kurniaan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang.
“Keprihatinan baginda berdua tidak perlu disangkal kerana ia bagaikan DNA (Asid Deoxyribonucleic) atau sifat semulajadi yang cakna, mesra rakyat dan sering turun padang,” menurut Kesultanan Pahang menerusi hantaran di Facebook.
Menurut hantaran itu, Tunku Azizah turut menitahkan cef di istana untuk memasak setiap hari dan menghantar makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS terutama di sekitar Kuantan.
Diketuai Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, penghantaran hari ini dilaksanakan Pasukan Bantuan Bencana Majlis Kesultanan Pahang menggunakan Trak tiga tan GS Cargo HICOM Handalan II (4 Briged Mekanize) berikutan keadaan laluan yang masih ditenggelami air.
Mohamed Zahari turut meninjau keadaan kebersihan, kelengkapan dan keselamatan di sekitar PPS tersebut seperti yang dititahkan Sultan Pahang.
Ketika ini, baginda sekeluarga berada di Bangkok, Thailand kerana memberi sokongan padu kepada anakanda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah yang mewakili Malaysia dalam sukan polo sempena Sukan SEA 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial