MELAKA, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menerima sebuah Van Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna (STAR) bagi memperkukuh penguatkuasaan dan penyelesaian aduan pengguna.
Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata van yang diterima daripada Ibu Pejabat KPDN itu berfungsi sebagai kaunter aduan bergerak yang ditempatkan di sekitar negeri ini khususnya lokasi tumpuan pelancong untuk menyelesaikan aduan pengguna dalam tempoh 24 jam.
Beliau berkata Van STAR KPDN turut menawarkan perkhidmatan lain seperti kaunter pembayaran kompaun, menyalurkan maklumat berkaitan isu kepenggunaan serta membuat timbangan semula barangan.
"Sempena Tahun Melawat Melaka 2026 (TMM2026), penguatkuasaan antara aspek penting yang akan diberi perhatian memandangkan Melaka adalah negeri pelancongan dan pastinya menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
"Justeru, KPDN turut bersedia menyambut kedatangan pelancong dan menyediakan medium membuat aduan bagi sebarang isu kepenggunaan seperti ketidakpuasan hati dengan harga produk atau barangan yang dibeli menerusi platform Van STAR KPDN," katanya kepada pemberita di sebuah pasar raya di Limbongan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Melaka Rohaimi Mohammed Zawawi.
Mohd Hazimin berkata inisiatif Van STAR KPDN dilihat dapat membantu meningkatkan prestasi KPDN Melaka yang merupakan negeri terbaik dalam aspek pengurusan aduan.
Beliau berkata usaha itu juga secara tidak langsung memberi imej yang baik kepada pelancong serta jaminan bahawa Melaka merupakan negeri yang selamat untuk berbelanja.
"Sehubungan itu, saya juga ingin mengingatkan peniaga agar berhemah dan tanpa muslihat bukan sahaja kepada rakyat tempatan tetapi juga kepada pelancong khususnya sempena TMM2026.
"KPDN tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku atau penipuan yang dilakukan peniaga dan tindakan penguatkuasaan akan dilakukan sekiranya aduan diterima," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Hazimin berkata KPDN Melaka telah merampas pelbagai barangan bernilai RM449,643.10 membabitkan kompaun berjumlah RM185,200 serta 17 tangkapan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 1 Jan hingga semalam.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga, KPDN Melaka menerima sebanyak 396 aduan dan memeriksa 31,544 premis perniagaan di seluruh negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial