JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Peniaga Di Destinasi Pelancongan Diingatkan Tidak Naikkan Harga, Tipu Sukatan

23/12/2025 06:19 PM

KUANTAN, 23 Dis (Bernama) -- Peniaga di destinasi pelancongan di Pahang diingatkan supaya tidak menaikkan harga barangan atau melakukan penipuan sukatan susulan peningkatan kehadiran pelancong sempena cuti persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Sim Chon Siang berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang didapati melanggar peraturan.

"Ada satu kes aduan di Cameron Highlands baru-baru ini berkaitan pelanggan membeli strawberi satu kilogram tetapi hanya dapat 700 gram.

"Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) amat mengambil berat hal ini dan kita sedang menyiasat sebelum mengambil tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas Program Tinjauan Mesra Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di sini hari ini.

Sebelum ini, media turut melaporkan terdapat pelancong mendakwa menjadi mangsa penipuan timbangan oleh peniaga strawberi di Cameron Highlands.

Terdahulu, Sim melakukan pemeriksaan barangan di beberapa pasar raya di bandar raya ini sebelum mengenal pasti tiga kesalahan dilakukan dari segi sukatan. 

"Saya berharap pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) Pahang ambil tindakan tegas. Jika sukatan lebih saya ucap terima kasih tetapi kalau tidak cukup kita ambil tindakan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan