JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

KPT Belanja RM1.2 Juta Bina Dewan Terbuka, Naik Taraf Gelanggang Futsal Kampung Pulau

03/01/2026 03:11 PM

ALOR GAJAH, 3 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membelanjakan RM1.2 juta bagi membangunkan Dewan Terbuka Kampung Pulau, Masjid Tanah dan menaik taraf gelanggang futsal di bawah Program Kampung Angkat MADANI.

Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk membina dewan terbuka berkenaan yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), manakala RM200,000 bagi menaik taraf gelanggang futsal oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

"Kampung Pulau dipilih menjadi Kampung Angkat MADANI bagi KPT pada pertengahan 2024, manakala UTeM dilantik sebagai agensi pelaksana.

"Program ini dilaksanakan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keprihatinan, kesejahteraan dan tanggungjawab sosial," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dewan Terbuka Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan replika kunci dewan berkenaan kepada Ketua Menteri Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai simbolik penyerahan fasiliti berkenaan.

Anesee berkata selain pembangunan fasiliti berkenaan, sebanyak lima program bimbingan komuniti turut dilaksanakan di bawah Program Kampung Angkat MADANI yang dikendalikan UTeM.

Beliau berkata ia membabitkan projek penanaman melon secara fertigasi, minyak masak terpakai, projek rintis akuaponik berasaskan Internet benda (IoT), kursus keusahawanan makanan dan minuman untuk wanita Kampung Pulau dan Program Kesedaran STEM: Pemindahan Kepakaran Kejuruteraan Mahasiswa kepada Anak-Anak Kampung Pulau.

"Melalui perkongsian ilmu pengetahuan ini, hasrat kerajaan untuk memupuk literasi digital dan kemahiran insaniah dalam kalangan masyarakat dapat direalisasikan, selain mengasah bakat kepimpinan dan pembinaan karakter dalam kalangan pelajar universiti melalui aktiviti berbentuk kesukarelawanan serta khidmat masyarakat.

"Saya yakin, penduduk Kampung Pulau dapat menikmati manfaat yang besar daripada pelaksanaan program Kampung Angkat MADANI ini dan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi serta masyarakat diharap dapat diteruskan pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Ab Rauf ketika berucap pada majlis yang sama berkata pembangunan Dewan Terbuka Kampung Pulau wajar dijadikan model rintis kepada pembangunan ruang komuniti desa yang berfungsi sebagai pusat aktiviti sosial, belia dan pemindahan ilmu bersama universiti.

Beliau berkata kemudahan itu dijangka memberikan manfaat secara langsung kepada lebih 400 penduduk Kampung Pulau termasuk belia, warga emas dan persatuan setempat dengan potensi penganjuran puluhan program komuniti setiap tahun.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan