KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB) hari ini melancarkan Jelajah Bijak W.A.N.G 2026 bagi memperkasa literasi kewangan golongan belia serta masyarakat B40 di seluruh negara melalui pendekatan inklusif dan interaktif.
GETB dalam kenyataan memaklumkan inisiatif berskala nasional itu dijalankan melalui skim mySalam dan akan berlangsung selama 12 bulan, selaras dengan aspirasi membina masyarakat yang lebih berdaya tahan dari segi kewangan.
“Inisiatif ini berteraskan tiga komponen utama merangkumi #BijakWang Varsity iaitu pertandingan literasi kewangan antara universiti seluruh negara, #BijakWang Karnival yang merupakan program komuniti berserta taklimat bermanfaat, aktiviti interaktif dan edutainment kewangan.
“Selain itu, #BijakWang TikTok LIVE iaitu sesi siaran langsung bersama pakar, pempengaruh dan masyarakat bagi menyampaikan ilmu kewangan secara santai dan mudah difahami,” menurut kenyataan itu.
Majlis pelancaran dirasmikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai dan program dilaksanakan hasil kerjasama strategik Great Eastern Takaful dengan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Jangkauan Kolektif Industri Kewangan (FINCO) dan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (Peka B40).
Sementara itu, Ketua Skim mySalam di Great Eastern Takaful Syuhaib Ithnin berkata Bijak W.A.N.G membawa maksud memperkasa literasi kewangan dan ia berteraskan empat prinsip utama iaitu Waspada, Atur, Nilai, dan Guna.
Beliau berkata prinsip tersebut menggalakkan masyarakat untuk lebih berhati-hati dalam penggunaan perkhidmatan kewangan digital, memupuk budaya perancangan melalui bajet dan simpanan kecemasan, mengurus hutang secara bertanggungjawab.
"Ia juga melindungi masa depan kewangan dengan perlindungan risiko seperti mySalam dan takaful untuk kesihatan, pendapatan dan keluarga,” katanya.
Jelajah Bijak W.A.N.G merupakan program susulan daripada kejayaan Bijak Wang Challenge yang dianjurkan tahun lepas, dan selari dengan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 (NS2.0).
Program itu turut memberi kesedaran terhadap isu “beli sekarang bayar kemudian” (BNPL) dan pinjaman peribadi yang menyumbang kepada peningkatan kes muflis dalam kalangan belia bawah 30 tahun.
Bagi mySalam pula, sejak diperkenalkan pada 2019, program tersebut telah membantu lebih 1.83 juta ahli dengan jumlah tuntutan bernilai RM1.33 bilion setakat 30 Nov lepas. Tarikh tutup permohonan tuntutan bagi kelayakan tahun 2025 adalah pada 30 Jun 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial