JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Waran Perbelanjaan 2026 Dikeluarkan Pada 31 Dis 2025, Projek Dilaksana Lebih Cepat - PM

05/01/2026 03:19 PM

PUTRAJAYA, 5 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua kementerian diarah supaya memastikan projek-projek kecil dilaksanakan dengan segera dan ia dikenal pasti seawal bulan depan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata projek berkenaan termasuk pembinaan jalan desa serta kuarters dan menaik taraf klinik daif dengan membenarkan kaedah lantikan terus kontraktor bagi projek bernilai sehingga RM200,000 serta sebut harga sehingga RM1 juta.

Beliau berkata bagi mempercepat pelaksanaan projek terbabit, kerajaan telah mengeluarkan waran am perbelanjaan untuk tahun ini lebih awal iaitu pada 31 Dis 2025 berbanding amalan sebelum ini sama ada bulan Mac atau April.

"Kerajaan memperuntukkan RM2.4 bilion bagi projek kecil untuk kumpulan kontraktor G1 hingga G4 yang kebanyakannya dikendalikan oleh kontraktor bumiputera.

"Pelaksanaan harus bermula sekarang di peringkat negeri dan pejabat daerah, dan semua proses perlu dipercepat," katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Anwar berkata pemulihan sekolah daif juga dibenarkan dan terbuka kepada prakelayakan kontraktor.

“Projek lain berjalan ikut jadual... saya tidak bimbang sangat tentang projek tebatan banjir kerana ia berjalan ikut keperluan... perumahan awam, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo yang sudah bermula... tetapi saya tekankan tentang projek-projek kecil yang harus dijalankan lebih cepat.

“Seperti kes jambatan roboh di Kuala Krai... betul ada masalah kerana tanah itu adalah tanah swasta... Menteri Besar dan Kerajaan Negeri memberikan kerjasama untuk kita segera perbaiki," katanya. 

Beliau juga berkata semua isu rakyat termasuk rungutan hal-hal kecil harus diselesaikan segera tanpa menunggu laporan di media sosial.

“Mana mungkin kita bicara soal menara berkembar, jambatan panjang, LRT (sistem transit aliran ringan), dan macam-macam lagi tetapi jambatan robek anak-anak nak pergi sekolah tidak dapat diperbaiki,” katanya.

Perdana Menteri berkata Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya perlu memastikan hal-hal kecil dilaksanakan segera sambil menegaskan bahawa tempoh tiga tahun sudah mencukupi untuk melihat pelaksanaan yang lebih berkesan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan