BANTING, 6 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyiapkan 15,082 projek pembangunan BP.1 skala kecil di seluruh negara dari 2023 hingga 2025.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kesemua projek itu dilaksanakan menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Kejayaan pelaksanaan projek pembangunan BP.1 dan sistem perparitan yang sistematik juga telah menyumbang kepada pengurangan 145 hotspot banjir di seluruh negara, sekali gus memberi impak positif kepada keselamatan dan kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sentuhan Kejayaan JKT Tahun 2025 di Pasar Awam Sungai Jarom di sini hari ini, yang turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim dan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor V Papparaidu.
Selain itu, Nga berkata Kementerian Ekonomi telah meluluskan 14 projek BP.1 skala besar bernilai RM10 juta dan ke atas tahun lepas dengan 10 daripadanya adalah projek pasar baharu.
Beliau berkata dari aspek keselamatan infrastruktur, JKT turut memberi tumpuan kepada projek membaik pulih dan pengukuhan cerun di kawasan PBT dengan 97 projek di 11 negeri telah dikenal pasti melibatkan peruntukan RM69.13 juta dan sehingga kini, 63 daripadanya telah disiapkan.
Nga berkata bagi aspek pembangunan komuniti, sebanyak RM101 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 858 projek pembangunan Kampung Baru merangkumi pemerkasaan infrastruktur asas serta program pembaikan rumah.
“Usaha ini diperkukuh melalui Program Kampung Angkat MADANI dengan peruntukan RM700,000 bagi merangsang ekonomi setempat.
“Agenda itu turut diperluas melalui peruntukan RM10 juta di bawah Belanjawan 2025 bagi pembangunan fizikal Kampung India yang memberi manfaat kepada 14,426 penduduk, selain sokongan tambahan RM5 juta menerusi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia (PPSMI) di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA),” katanya.
Dalam pada itu, Nga berkata kutipan terkumpul bagi pembayaran perkhidmatan PBT menerusi aplikasi PBTPay mencecah RM1.56 bilion sepanjang tempoh lima tahun lepas.
“Momentum positif ini jelas kelihatan apabila kutipan tahunan melonjak daripada RM448.9 juta pada 2024 kepada RM538 juta pada 2025.
“Selain itu, sistem aduan PBTCare turut merekodkan penerimaan 10,500 aduan dengan 18,230 pengguna berdaftar, sekali gus membuktikan peningkatan kepercayaan rakyat terhadap ketelusan sistem penyampaian kerajaan,” katanya.
Bagi agenda pembudayaan kebersihan menerusi penganjuran Toilet of The Year Award (TOTYA 2025), Nga berkata data menunjukkan peningkatan ketara tandas bertaraf ‘Bersih, Menawan, dan Wangi’ atau (BMW) bagi sektor swasta daripada 37 peratus pada 2022 kepada 59 peratus tahun lepas.
“Manakala bagi tandas milik PBT melonjak daripada 43 peratus kepada 79 peratus dalam tempoh sama. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kualiti fasiliti awam, malah dijangka menjana nilai ekonomi industri kelengkapan tandas melebihi RM100 juta,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial