JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Karnival FLYSiswa 2026 Di UPM 13 Jan - MOT

07/01/2026 05:10 PM

PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menganjurkan Karnival FLYSiswa 2026 pada 13 Jan ini di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula 9 pagi hingga 4 petang.

Menurut kenyataan MOT hari ini, karnival itu bertujuan sebagai platform hebahan dan penerangan mengenai inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan kepada pelajar.

Program FLYSiswa menyasarkan pelajar institusi pendidikan tinggi awam, politeknik, kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), serta pelajar matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Inisiatif ini membantu meringankan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung, khususnya melibatkan laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pelajar yang layak akan menerima baucar digital bernilai RM400 dalam bentuk credit shell untuk pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi sehala atau dua hala dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MASwings,” menurut MOT.

Kementerian itu memaklumkan terdapat tiga fasa pelaksanaan FLYSiswa 2026, dengan fasa satu melibatkan pelajar sedia ada dan baharu yang berdaftar sehingga 30 Sept 2025, dan dilaksanakan mulai 1 Jan 2026.

“Fasa kedua pula melibatkan pelajar baharu mendaftar bagi tempoh antara 1 Okt hingga 31 Dis 2025, yang akan dilaksanakan pada 1 Mac 2026, manakala pelaksanaan FlySiswa 2026 mulai 1 Julai 2026 akan melibatkan pelajar baharu mendaftar bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mac 2026,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang penganjuran Karnival FLYSiswa 2026, pelbagai pengisian akan disediakan termasuk kaunter informasi dan sesi penerangan bagi membolehkan pelajar mendapatkan maklumat tepat secara terus daripada pihak berkaitan, termasuk berhubung fasa pelaksanaan program sepanjang tahun ini.

Untuk rekod, pelaksanaan FLYSiswa sejak 2023 telah memberi manfaat kepada 119,806 pelajar, dengan peningkatan jumlah tuntutan dari tahun ke tahun, sekali gus membuktikan relevansi dan keperluan program itu dalam menyokong kebajikan pelajar.

MOT menjemput semua pelajar untuk hadir dan memanfaatkan peluang bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai pelaksanaan FLYSiswa 2026.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan