JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

520 Pelajar Di Gua Musang Terima Manfaat RM104,000 Di Bawah Inisiatif Sejahtera MADANI

07/01/2026 09:49 PM

GUA MUSANG, 7 Jan (Bernama) -- Sebanyak 520 pelajar dari tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Gua Musang menerima manfaat berjumlah RM104,000 menerusi Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Pendidikan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata bantuan bersasar itu melibatkan 234 keluarga berdaftar dalam sistem eKasih di DUN Galas, Paloh dan Nenggiri, bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan keluarga miskin dan miskin tegar di daerah ini.

Beliau berkata bantuan tunai diagihkan kepada 51 ketua isi rumah (KIR) di DUN Galas berjumlah RM22,000, 69 KIR di DUN Paloh (RM32,800) dan 115 KIR di DUN Nenggiri (RM49,200).

“Menerusi bantuan yang diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), kita dapat mengenal pasti mereka yang benar-benar memerlukan, selain memastikan penyampaian bantuan dibuat secara berfokus dan bersepadu,” katanya kepada pemberita pada Program Back to School 2026 @ Galas di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menyampaikan bantuan kelengkapan sekolah kepada lebih 500 murid dan pelajar daripada keluarga miskin, anak yatim dan asnaf sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan 2026.

Mohd Syahbuddin berkata sebanyak lapan kelengkapan sekolah disumbangkan antaranya sepersalinan uniform, beg dan kasut.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan