JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Anwar Hargai Layanan Ikhlas Erdogan Sempena Lawatan Rasmi Ke Turkiye

08/01/2026 08:29 AM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

ANKARA, 8 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan atas layanan yang cukup luar biasa, penuh keikhlasan dan persaudaraan sempena lawatan rasmi beliau ke republik berkenaan.

Menerusi satu kenyataan, Anwar turut mendoakan agar Erdogan, Wanita Pertama Turkiye Emine Erdogan dan keluarga sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan serta kebijaksanaan dalam memimpin republik itu ke arah keamanan, kemakmuran dan keadilan yang berterusan, demi kesejahteraan rakyat serta dunia Islam seluruhnya.

Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama delegasi Malaysia turut berbesar hati kerana diraikan oleh Erdogan dan Emine dalam Majlis Makan Malam Rasmi yang berlangsung dengan penuh keindahan, kehangatan serta kemuliaan persahabatan di Kompleks Presiden di sini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye atas jemputan Erdogan, yang bermula Selasa lepas, dan ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion), dan republik itu terus menjadi rakan ekonomi penting negara.

Pada 2024, Turkiye merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (USD5.28 bilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan