JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kerajaan Negeri Selangor Rancang Ternakan Babi Berpusat Di Bukit Tagar

08/01/2026 05:08 PM

SHAH ALAM, 8 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor sebagai langkah strategik jangka panjang penstrukturan semula industri itu bermula 2030.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata langkah itu bagi memastikan industri ternakan babi diurus secara lebih bersih, tersusun dan moden, selain tidak menjejaskan alam sekitar serta keharmonian masyarakat setempat, di samping menjamin keselamatan makanan kepada komuniti bukan Islam.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira keperluan kawalan pencemaran, pengurusan wabak serta perancangan pembangunan industri secara mampan, sejajar usaha kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan makanan, termasuk keperluan rakan-rakan bukan Islam.

“Kita mahu memastikan industri ini diurus dengan baik bagi menjamin bekalan makanan, kebersihan, keharmonian masyarakat serta kawalan risiko penyakit,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata industri ternakan babi di Selangor memerlukan model pengurusan yang lebih berpusat bagi membolehkan kawalan dan pemantauan dilaksanakan secara menyeluruh, namun pelaksanaannya memerlukan masa memandangkan ia melibatkan kesesuaian tanah, penggunaan teknologi dan pelaburan berskala besar.

Izham berkata Bukit Tagar dikenal pasti sebagai lokasi sesuai, melibatkan kawasan kira-kira 202 hektar termasuk zon penampan, dengan pelaksanaan sistem penternakan tertutup serta konsep sifar pelepasan.

“Projek ini akan menggunakan sistem penternakan tertutup bagi mengawal penularan penyakit, selain konsep ‘zero discharge’ menerusi teknologi kitar semula sisa kumbahan kepada biogas dan tenaga elektrik. Zon penampan turut diwujudkan bagi memastikan jarak selamat antara ladang dan kawasan awam.

“Sebahagian perancangan dan penyelarasan awal telah berjaya dicapai hasil perbincangan bersama jabatan serta jawatankuasa berkaitan,” katanya.

Beliau berkata sementara projek di Bukit Tagar disiapkan, kerajaan negeri membenarkan penternak sedia ada di 112 ladang di Tanjung Sepat ketika ini, terus beroperasi di lokasi masing-masing untuk tempoh tiga tahun sebelum dipindahkan. 

Beliau berkata sepanjang fasa peralihan itu, penternak tertakluk kepada syarat ketat, termasuk keperluan memperbaharui lesen penternakan setiap enam bulan.

“Bagi menjamin bekalan daging babi, kerajaan negeri turut membenarkan kemasukan kira-kira 2,000 ekor babi hidup dari Sarawak dan Perak sejak Julai lepas, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.

Beliau turut menegaskan semua penternak diwajibkan menaik taraf sistem kumbahan dalam tempoh tahun pertama fasa peralihan bagi menangani isu pencemaran bau dan air.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan